SHAH ALAM - Seorang penganalisis politik veteran mencadangkan agar UMNO diberi jawatan Perdana Menteri kesembilan manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjawat tugas Timbalan Perdana Menteri sebagai jalan meleraikan kebuntuan hubungan kedua-dua parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan memandangkan UMNO mempunyai struktur dan akar umbi yang lebih mantap selain jumlah keahlian yang paling ramai berbanding parti-parti lain.
"Dalam kemelut hubungan antara Bersatu dan UMNO, saya rasa Bersatu perlu mengalah dan memberi peluang kepada UMNO.
"Ini kerana saya yakin jika peluang itu diberikan kepada parti UMNO, maka sudah pastinya pihak keramat tersebut akan rela memberikan sejumlah kerusi yang diinginkan oleh Bersatu dalam PRU15 nanti.
"Sebenarnya inilah kunci bagi segala permasalahan yang menimbulkan kebuntuan kini, namun adakah Bersatu akan bersetuju dengan cadangan ini? Dan buat masa ini adakah UMNO akan terus dengan keputusannya tidak mahu bekerjasama?” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Atory menegaskan, setakat ini UMNO seakan-akan yakin akan menang dan tidak gentar jika bersendirian tanpa sokongan Pas sekalipun.
"Apa pun jika UMNO bertanding bersama-sama Pas, kemungkinan lebih banyak kerusi yang boleh dimenangi dan mereka juga terfikir jika bertanding bersama-sama Bersatu adakah kemungkinan akan kalah atau sebaliknya.
"Maka sebenarnya UMNO mempunyai banyak pilihan, yang mana boleh memberi manfaat kepada parti maka itu yang akan dipilih mereka,” tegasnya.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut mempersoalkan pujukan Perikatan Nasional (PN) supaya UMNO kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen yang didakwa menjadi antara punca keretakan kerjasama dalam pakatan itu.
Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, tidak ada sesiapa yang mahu memusnahkan kerajaan PN.
Klik di sini untuk terus membaca