ADA beberapa perkara yang berlaku dalam negara pada hari ini yang menyukarkan kita untuk benar-benar memerangi rasuah. Selain cabaran dalam operasi pencegahan dan penyiasatan, terdapat juga masalah budaya yang semakin menebal dalam masyarakat.
Budaya yang dimaksudkan adalah yang berkaitan dengan mereka yang memberi alasan kepada setiap tindak tanduk kesalahan rasuah yang mereka lakukan.
Sekiranya kita benar-benar ingin menghapuskan rasuah, kita perlu mengambil iktibar daripadanya agar masyarakat tidak terus menerima alasan-alasan ini untuk menjustifikasi kerakusan menghalalkan rasuah.
Alasan pertama yang kita sering dengar adalah bagaimana sesetengah orang menggunakan kekayaan orang lain sebagai sebab untuk mereka berasa tidak bersalah mengambil ataupun untuk meminta wang daripada orang tersebut. Kononnya orang itu sememangnya kaya dan dengan membayar atau beri upah atas perkhidmatan khas yang diberikan bukanlah satu kesalahan.
Selalunya alasan itu akan disokong dengan kenyataan bahawa 'wang upah’ (sepatut dibaca rasuah) yang diterima itu kalau dibandingkan dengan jumlah keuntungan diterima sang kontraktor, ia jauh terlalu kecil untuk dibandingkan.
Lebih meyakinkan lagi apabila justifikasi itu disokong oleh seorang lagi teman yang selalunya akan bersetuju dengan kenyataan ini dan menambah: "Lagi pun bos, kita ambil cuma puluhan ribu, tidak menjadi kudis untuk kita mengambil sedikit.”
Sebenarnya pemikiran sebegini jika tidak diperbetulkan, ia akan melarat dan menjadi resam yang boleh menghancurkan negara. Orang yang memberi justifikasi sebegini sebenarnya perlu tahu bahawa beliau telah dibayar gaji oleh majikannya untuk menjalankan tugas, maka adalah menjadi kesalahan meminta bayaran tambahan daripada orang lain.
Perkara kedua yang biasa kita dengar adalah mengguna alasan demi kestabilan negara. Selalunya justifikasi begini boleh kita kaitkan dengan idea dalam karangan Machiavelli - 'Matlamat menghalalkan cara’.
Ada pihak yang akan menghalalkan tindak-tanduk mereka yang terang-terang salah bukan sahaja dari segi undang-undang rasuah negara tetapi juga salah dari sisi hukum alam sebagai tindakan tidak bermoral.
Namun, mereka dengan bangganya menggunakan alasan demi kestabilan negara untuk mereka sanggup melakukan apa sahaja. Ada kalanya tindak-tanduk yang salah ini diraikan pula dan disambut sebagai seorang wira negara.
Demi kestabilan negara juga adakalanya dikaitkan dengan kaum tertentu. Rasuah tidak bersalah katanya jika dibuat untuk mempertahankan ketuanan kaum mereka.
Justifikasi sebegini sangat berbahaya kerana ia memainkan sentimen perkauman. Selain menghalalkan rasuah, ia berpotensi menggugat keharmonian kaum dalam negara.
Perkara ketiga paling berbahaya adalah apabila agama digunakan untuk menghalalkan cara. Ada yang kata 'rezeki jangan ditolak.’ Ada pula yang seolah-olah membuat ijtihad bahawa rasuah itu dibolehkan bagi orang-orang yang susah dan mempunyai banyak tanggungan.
Apa pun alasannya, semua ini boleh merosakkan masyarakat dan negara dan lebih-lebih lagi usaha negara untuk memerangi rasuah.
Apa pun ijtihad yang mereka buat, yang pasti jelas dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 188 yang maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
”Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R. Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: "Laknat ALLAH kepada pemberi ra-suah dan penerima rasuah.” Kenapa hukum ALLAH tentang yang satu ini diambil mudah? Hadis nabi jelas bahawa ALLAH SWT melaknat pemberi dan penerima rasuah. Apa lagi yang perlu disebut untuk orang Islam berhenti memberi dan menerima rasuah?
Kolum Rintihan Rakyat kali ini benar-benar merintih untuk semua pembaca bersama bersatu hati menolak amalan rasuah. Semoga Malaysia dikenali kerana sifat integriti rakyatnya dan bukan kerana rasuah.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca