PENGUMUMAN Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan kebenaran yang diberikan kepada penonton untuk memasuki stadium mulai 1 April ini ternyata melegakan setiap kelab Liga Malaysia (Liga-M). Bagi Ketua Pegawai... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUMUMAN Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan kebenaran yang diberikan kepada penonton untuk memasuki stadium mulai 1 April ini ternyata melegakan setiap kelab Liga Malaysia (Liga-M).

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri, pihaknya melihat perkara berkenaan sebagai perkembangan positif kepada peminat dan penyokong bola sepak di seluruh negara.

"Terima kasih diucapkan kepada kerajaan kerana membenarkan penonton hadir ke stadium. Ini satu berita yang cukup menggembirakan kepada semua pemegang taruh terlibat selain para penyokong bola sepak.

"Agak lama stadium tidak dibanjiri penonton dan sudah tentu semua pihak yang terlibat begitu teruja dengan berita ini. Walaupun ada had kemasukan penonton ke stadium tetapi ini satu permulaan yang baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Saiful

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan, Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga-M berkuat kuasa 1 April.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah mendengar pembentangan dan cadangan SOP daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berserta pandangan dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran daripada pihak KBS.

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton dibenar masuk stadium mulai 1 April

Mengulas lanjut, Mohd Saiful berharap setiap penyokong dapat bekerjasama dengan dengan petugas-petugas di stadium berkenaan selain mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Antara perkara pertama yang akan kami lakukan sekiranya penyokong sudah boleh hadir ke stadium adalah kita buat penambahbaikan terhadap SOP sedia ada. Antaranya kami akan menambahkan lagi petugas di stadium untuk mengawal dan menjaga dari segi penjarakan fizikal penonton.

"Kami juga akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Melaka berhubung penambahbaikan-penambahbaikan SOP yang boleh kita laksanakan,” jelasnya.

Kehadiran penonton ke stadium mampu membakar semangat setiap pasukan.

Nada sama disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Ab Rasid Jusoh yang menyambut baik kebenaran pihak kerajaan membenarkan penonton hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Liga-M.

"Para penonton dan peminat bola sepak di negara ini sudah lama dahagakan untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan Liga-M selepas lebih setahun mereka hanya menonton di kaca televisyen. Bagi saya, ini satu petanda yang cukup positif kepada saingan Liga-M.

"Sebagai persiapan awal bagi menantikan semula kehadiran penonton ke stadium, kami juga sudah bermesyuarat dan mempunyai mekanisme tertentu apabila penyokong dibenarkan hadir ke stadium nanti,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca