SUDAH hampir tiga minggu sekolah rendah dibuka. Alhamdulillah, anak-anak kembali menjalani rutin biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Namun, ada satu perkara yang menjengkelkan Merak Jalanan. Sikap segelintir ibu bapa dan penjaga ketika ambil anak-anak balik sekolah. Mereka parkir kenderaan betul-betul di hadapan pintu masuk sekolah sehingga jadi double triple parkir.
Bukan seorang dua tetapi sekampung. Jalan jadi sesak. Yang tak ada urusan nak ambil anak dari sekolah pun tersangkut sama depan sekolah.
Merak Jalanan sering berdepan masalah ini kerana perlu melalui sebuah sekolah rendah jika mahu ke rumah ibu mentua untuk hantar anak-anak sebelum ke pejabat. Terpaksa banyak bersabar sambil lihat pelbagai gelagat mak ayah ketika ambil anak masing-masing.
Agaknya apalah yang ada dalam pemikiran ibu bapa itu. Nak mudahkan anak? Nak pastikan anak tak letih? Senang anak nampak kereta mak ayah atau sebenarnya memang jenis ibu bapa malas nak jalan jauh?
Nasihat Merak Jalanan kepada ibu bapa, parkirlah jauh sedikit supaya tidak mengganggu pemandu lain dan kemudian jalan kaki ambil anak di depan pintu pagar sekolah. Lagipun berjalan menyihatkan badan.
Sambil berjalan beriringan bersama anak menuju kereta, macam-macam boleh sembang terutama si anak. Itulah momen manis kita suatu hari nanti.
Sekolah tempat anak-anak menimba ilmu. Mereka diajar dengan nilai-nilai murni tetapi lihatlah sikap segelintir ibu bapa yang bersikap mementingkan diri sendiri. Itukah contoh yang mahu kita tunjukkan kepada mereka?
Ayuh, kita betulkan yang biasa dan kita biasakan yang betul. Sudah-sudahlah bawa sikap macam tu. Sudah-sudahlah nak pentingkan diri sendiri dan menyusahkan orang lain. Buang budaya lama yang tidak elok. Kita perkenalkan budaya yang lebih positif dan murni.
Klik di sini untuk terus membaca