BAGUS sangatlah akhbar ini ambil perhatian isu orang berniaga di simpang lampu isyarat. Keadaan ini sudah makin menjadi-jadi sekarang. Bukan sahaja orang berniaga, tapi yang minta sedekah pun dah guna tempat seperti itu.
Hal ini bukan sahaja berlaku di Petaling Jaya atau Shah Alam tapi juga di Kuala Lumpur. Peniaga semakin berani berjual teh ais, asam boi, keropok, rokok dan lain-lain. Kita macam berada di Jakarta atau di banyak kota besar di Indonesia pula.
Awang faham perlunya orang berniaga masa ini. Dalam keadaan susah memang itulah sumber pencarian yang penting. Tapi berpada-padalah berniaga. Keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain patut diambil kira.
Memang pihak berkuasa tempatan beri kelonggaran untuk berjual semasa PKP. Mereka tak ambil tindakan pada orang yang berniaga tanpa lesen atau di tempat-tempat yang tidak dibenarkan berniaga selama ini. Tapi yang berjual di simpang lampu isyarat ini memang tak patut dibenarkan. Banyak yang berjual itu bukan rakyat tempatan pun.
Awang harap polis dan pihak berkuasa tempatan beri perhatian hal ini. Jangan sampai ia jadi budaya pula. Maklumlah apabila dibiarkan makin banyak yang ambil kesempatan. Buat masa ini kita belum dengar kes kemalangan membabitkan mereka, tapi lambat laun akan berlaku juga.
Bila berlaku nanti polis dan pihak berkuasa tempatan juga yang dipersalahkan.
Klik di sini untuk terus membaca