SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti tujuh hingga lapan individu yang terlibat dalam pengimportan daging sejuk beku yang tidak sah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang mengambil tindakan untuk memburu individu terbabit.
Menurutnya, kesemua yang dikenal pasti itu membabitkan warga tempatan dan individu itu akan dikenakan tindakan termasuk didakwa atau dicadangkan untuk ditahan di bawah Ordinan Pencegahan Jenayah.
"Perbuatan ini salah sehingga menyebabkan daging bercampur, memalsukan sijil halal. Itu memang salah.
"Kesemua mereka bergiat dalam kegiatan mengimport daging tetapi apabila mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan sijil halal, mereka mengambil jalan singkat dengan membuat sendiri dan mangsanya adalah pengguna Islam,” katanya selepas wawancara khas di Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.
Tambah Abdul Hamid, isu berkenaan amat sensitif dan mengakibatkan kemarahan masyarakat.
"PDRM tidak mengambil ringan kes ini dan sebab itu JSJ akan menjalankan siasatan dan membongkar aktiviti ini dan siapa yang terlibat,” kata beliau.
Dalam pada itu, sumber Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan, jabatan itu telah mengenal pasti sebuah premis kartel daging sejuk beku terletak di Lembah Klang.
Menurutnya, premis itu disyaki mempunyai kaitan dengan kartel daging sejuk beku di Senai, Johor.
"Berkenaan keluasan, lokasi pengedaran premis itu masih belum dikenal pasti sehingga serbuan dijalankan untuk pemeriksaan bagi semakan dokumen berkaitan,” kata sumber berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kartel daging calar imej Malaysia hub halal dunia
Menurut sumber itu, susulan serbuan pada Disember tahun lalu di Senai, Johor prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan terutama melibatkan produk halal terus diperketatkan.
Katanya, Maqis turut membuat rombakan kecil sebagai pusingan kerja di seluruh negara terutama di pintu masuk pelabuhan di Johor, Pulau Pinang dan Selangor.
"Kita juga telah menubuhkan task force untuk menjalankan siasatan dalaman.
"Berkenaan pegawai yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kes kartel daging, kita sedang tunggu tindakan pendakwaan sebelum tindakan susulan Maqis,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai usaha memperkasakan penguatkuasaan Maqis, sumber berkata, jabatan terbabit dalam proses penambahan 1,300 jumlah keanggotaan selain pemerolehan peralatan yang canggih seperti snake eye.
"Snake eye ini membolehkan pemeriksaan di sudut yang paling dalam di kontena. Contohnya, sindiket biasanya mempamerkan produk sah pada bahagian depan, sebaliknya di belakang menyimpan produk tidak sah.
"Jadi dengan peralatan itu, pemeriksaan boleh dijalankan dengan lebih mendalam,” kata sumber berkenaan.
Pada 2 Disember tahun lalu, Sinar Harian dalam laporan eksklusif melaporkan sepasukan pihak berkuasa bertindak menyerbu sebuah gudang daging sejuk beku di Senai dan merampas kira-kira 1,500 tan pelbagai jenis daging sejuk beku.
Klik di sini untuk terus membaca