KEPIMPINAN di Tanzania mencipta sejarah susulan pelantikan presiden wanita pertama, Samia Suluhu Hassan untuk memegang tampuk pemerintahan di negara Afrika Timur itu Jumaat lalu. Majlis angkat sumpah jawatan pemimpin Muslim itu, Samia, 61,... Klik di sini untuk terus membaca

KEPIMPINAN di Tanzania mencipta sejarah susulan pelantikan presiden wanita pertama, Samia Suluhu Hassan untuk memegang tampuk pemerintahan di negara Afrika Timur itu Jumaat lalu.

Majlis angkat sumpah jawatan pemimpin Muslim itu, Samia, 61, turut mendapat perhatian meluas di rantau terbabit selepas kematian mengejut pendahulunya, John Pombre Magufuli pada usia 61 tahun Rabu lalu, kira-kira 21 hari selepas beliau tampil buat kali terakhir di khalayak umum.

"Saya Samia Suluhu Hassan bersumpah akan berkhidmat sepenuh hati, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan negara ini mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Saya juga berikrar akan memikul amanah dan menggalas tanggungjawab sepenuhnya sebagai presiden,” ujar beliau sambil memegang naskhah al-Quran ketika upacara rasmi itu yang turut dihadiri anggota Kabinet, bekas presiden dan pegawai tentera di Dar es Salaam.

Ahli politik veteran tersebut merupakan Naib Presiden Magufuli yang pertama kali memegang jawatan itu pada 2015 dan dilantik semula tahun lalu.

Beliau akan menghabiskan baki penggal pemerintahan pendahulunya yang dijadualkan berakhir pada Oktober 2025.

Segelintir rakyat Tanzania melihat kepimpinan baharu tersebut akan membawa perubahan positif kepada Dar es Salaam yang majoriti penduduknya adalah penganut Kristian manakala Islam merupakan agama kedua terbesar di negara itu.

"Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau. ‘Ibu’ kami sudah mengambil alih kepimpinan negara ini dan kami percaya beliau akan memimpin Tanzania ke landasan yang betul,” kata penduduk dikenali sebagai Joseph Aboubakar di Dar es Salaam.

Menurutnya, Samia bukanlah muka baharu memandangkan beliau telah memegang jawatan kedua tertinggi sejak lebih lima tahun lalu.

Sementara itu, seorang pemilik kios kecil, Kyande Muro berkata, langkah meningkatkan pendapatan rakyat akan menjadi reformasi terbaik yang boleh dilakukan beliau.

"Saya juga berharap presiden baharu terbabit akan dapat menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara supaya orang ramai boleh mendapatkan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Sebahagian penduduk di negara yang mempunyai populasi 58.01 juta penduduk itu juga melihat kepimpinan Samia sememangnya mencabar stereotaip yang mendakwa kononnya wanita tidak boleh menerajui pemerintahan sesebuah negara.

Ketua Persatuan Media Wanita Tanzania, Rose Reuben percaya Dar es Salaam akan terus maju di bawah kepimpinan beliau.

Tetapi, penganalisis berpendapat Samia bakal berdepan tekanan awal daripada sekutu Magufuli yang menguasai risikan dan jawatan utama lain yang mungkin akan cuba campur tangan dalam agenda dan keputusan dibuat beliau.

Banyak pihak terutamanya parti pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia meletakkan harapan yang tinggi agar beliau mengubah gaya kepimpinan pendahulunya yang mendapat julukan ‘bulldozer’ selain usaha Samia untuk menangani pandemik Covid-19 yang gagal dilakukan Magufuli.

Keranda yang menempatkan jenazah Magufuli diselubungi bendera kebangsaan ketika orang ramai memberi penghormatan terakhir di Stadium Uhuru di Dar es Salaam pada Sabtu. - AFP

Presiden kelima Tanzania itu dikatakan meninggalkan legasi yang kompleks, pendirian antirasuah yang terlampau tegas dan sikap tidak masuk akal yang turut menyekat kebebasan bersuara, media dan aktivis.

"Ayuh buka babak baharu untuk membina semula perpaduan negara, menghormati kebebasan, keadilan, demokrasi dan pembangunan yang berpusat kepada rakyat,” kata Freeman Mbowe yang merupakan pemimpin kumpulan pembangkang, Chadema.

Kumpulan Hak Asasi Manusia (HRW) pula berharap Samia membuka peluang untuk permulaan baharu dengan menamatkan ‘amalan’ bermasalah sebelum ini.

Gesa perpaduan

Menerusi ucapan pertama beliau, Samia menggesa perpaduan dalam kalangan rakyat selepas punca kematian Magufuli terus menjadi tanda tanya banyak pihak walaupun ramai yang mendakwa ia berpunca daripada Covid-19.

Sebelum ini, Magufuli sering memandang rendah ancaman wabak tersebut termasuk enggan mewajibkan pemakaian pelitup muka atau melaksanakan langkah lockdown.

Pemimpin itu juga melarang statistik kes jangkitan Covid-19 dikeluarkan malah menggalakkan ubat alternatif kononnya untuk merawat Covid-19 selepas beliau menolak vaksin yang dianggap ‘berbahaya’.

Sikap tidak acuh Magufuli akhirnya membawa padah apabila kes jangkitan di negara itu terus melonjak pada bulan lalu yang turut menyaksikan kematian beberapa pemimpin kanan akibat radang paru-paru.

Kehilangannya secara tiba-tiba sejak tiga minggu lalu terus mencetuskan persoalan, Samia bagaimanapun menegaskan kematiannya berpunca daripada masalah jantung.

"Saya mahu meyakinkan seluruh rakyat bahawa kita akan menyambung semula legasi Magufuli. Ini bukan masanya untuk menuding jari ke arah satu sama lain. Ayuh kita semua berganding bahu dan bersatu untuk bergerak maju,” katanya selepas melakukan pemeriksaan kawalan kehormat dan menerima sebanyak 21 das tembakan meriam kehormat.

Pemimpin wanita itu juga menyatakan upacara angkat sumpah kali ini agak berbeza dengan sebelum ini.

"Ia diadakan ketika rakyat masih lagi bersedih dengan pemergian Magufuli. Oleh itu, saya mohon maaf,” menurutnya yang turut mengumumkan masa berkabung selama 21 hari.

Sehari selepas majlis pelantikan beliau, seluruh penduduk di ibu negara membanjiri jalan utama di Dar es Salaam untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Magufuli di Stadium Uhuru.

Ia akan diarak ke seluruh negara sebelum pemimpin itu disemadikan di bandar kelahirannya di bandar Chato, wilayah Geita pada Jumaat ini. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca