KOTA BHARU - [LAPORAN KHAS] Masih terdapat segelintir perokok dilihat tidak peka terhadap larangan merokok di gerai dan kedai makan di negeri ini.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai makan sekitar bandar ini mendapati masih ada pelanggan yang selamba menghisap rokok walaupun tanda larangan merokok ada ditampal.
Terdapat segelintir pelanggan merokok ketika duduk semeja bersama rakan-rakan manakala yang berkeluarga pula merokok di luar kedai.
Seorang peniaga, Hidayati Mohd Amran, 47, berkata, penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan memberi kesan terhadap jumlah pelanggan.
Menurutnya, pelanggan lebih gemarkan suasana bersantai sambil merokok selepas atau sebelum makan sama ada bersama keluarga mahupun rakan-rakan.
"Peniaga tetap patuh dengan arahan meletakkan papan tanda larangan merokok dan tidak menyediakan bekas abu rokok.
"Kebiasaannya pelanggan yang ingin merokok akan duduk di luar kedai di ruang yang terbuka supaya tidak mengganggu pelanggan lain tetapi ada juga yang degil merokok di meja,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Tunjong di sini.
Sementara itu, seorang pelanggan, Maisarah Shapiin, 33, berkata, kempen larangan merokok perlu diadakan secara lebih kerap supaya orang ramai tidak lupa dengan peraturan yang telah diwartakan itu.
"Setiap kali hal ini dibangkitkan orang ramai akan tersedar, tetapi kalau lama tidak disebut atau diambil perhatian, mereka akan lupa,” katanya.
Bagi seorang perokok, Mohd Firdaus Shamsudin, perokok biasanya akan berasa ketagih untuk merokok selepas makan atau ketika bersantai.
"Tak boleh kalau tak merokok, ‘pahit mulut’. Sekarang ramai sudah tukar vape tetapi peraturan tetap sama dan perlu dipatuhi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca