SHAH ALAM - Tiada negara di dunia ini yang menyaksikan parti utama di dalam sesebuah kerajaan campuran, penjawat utama dalam parti berkenaan tidak diberikan jawatan dalam kerajaan kecuali di Malaysia.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebagai sebuah parti komponen utama dalam kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN), pemimpin-pemimpin utama UMNO sepatutnya diberikan jawatan-jawatan penting daripada kementerian-kementerian yang strategik.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku dan senario itu juga menyebabkan wujud pelbagai kelompok pemikiran politik di dalam UMNO ketika ini.
"Antara punca banyaknya wujud kelompok pemikiran politik berbeza dalam UMNO adalah disebabkan Presiden, Timbalan Presiden, dua Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Bendahari dan penjawat utama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tiada jawatan dalam kerajaan ini.
"Tidak ada dalam dunia ini yang menyaksikan parti utama dalam kerajaan campuran itu, penjawat utamanya tiada jawatan dalam kerajaan. Hanya di Malaysia.
"Namun, kalau saya selalu sebut perkara ini, seolah-olah UMNO dilihat seperti gila jawatan," katanya kepada Sinar Harian menerusi wawancara eksklusif di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas faktor utama berlakunya kewujudan pelbagai kem di dalam UMNO pada ketika ini.
Hal ini susulan UMNO dijangka memuktamadkan usul menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, 27 dan 28 Mac ini.
Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, senario malang membabitkan pemimpin tertinggi UMNO itu juga membuktikan parti itu tidak gila jawatan sebagaimana didakwa segelintir pihak.
Jelas beliau, kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jawatan sepatutnya kepada pemimpin-pemimpin nombor satu hingga nombor enam UMNO menimbulkan teori ada pihak tidak mahu melihat parti itu menjadi kuat.
"Soal mengapa penjawat-penjawat utama UMNO dalam kerajaan tiada jawatan? Itu kena tanya Perdana Menterilah. Maka, bila kita tiada masa untuk tanya Perdana Menteri, mulalah timbul teori-teori mengatakan ada pihak tidak mahu UMNO menjadi kuat.
"Kalau pemimpin UMNO nombor satu hingga nombor enam ada jawatan dalam kerajaan, maka kuatlah UMNO. Tiadalah ‘school of thought’ yang banyak-banyak. Kajilah politik negara mana sekalipun, adakah perkara sebegini berlaku di negara luar. Tiada," katanya.
Katanya, persoalan ini dibangkitkan beliau bukan disebabkan UMNO dambakan jawatan kerajaan, tetapi lebih menyentuh soal logik politik yang 'tidak logik' berlaku di Malaysia.
Jelas Ahmad Maslan, sekiranya pemimpin-pemimpin utama UMNO tidak diberikan jawatan atas alasan terkait kes mahkamah, tentunya Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Raden tidak dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.
"Jangan orang itu ada kes mahkamah, lantas kita menyebut mereka sudah bersalah. Itu tidak betul dan melanggar segala hukum keadilan yang ada.
"Justeru, bagi saya alasan itu tidak boleh diambil kira (oleh kerajaan PN). Kalau ia diambil kira, tentu (Pengerusi BN Sabah) Datuk Seri Bung Mokhtar Raden tidak menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah," katanya.
Ahmad Maslan turut mempersoalkan kegagalan kerajaan PN memberikan jawatan penting kerajaan kepada beberapa perjawatan utama dalam UMNO yang tiada terkait kes mahkamah.
"Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) tiada kes, dua Naib Presiden (Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin) tiada kes, Ketua Pemuda (Datuk Dr Asyraf Wajdi) dan Ketua Puteri (Datuk Zahida Zarikh Khan) tiada kes, ada penjawat utama yang mendapat nombor pengundian tertinggi dalam MKT tiada kes.
"Semua perkara berlaku itu menyebabkan kita tidak boleh hendak tutup suara dan rasa hati orang UMNO. Politik adalah sesuatu yang terbuka, tidak seperti politik zaman dahulu," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca