LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menetapkan harga siling kepada mana-mana kelab yang berhasrat menaikkan harga tiket perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini. Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, setiap... Klik di sini untuk terus membaca

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menetapkan harga siling kepada mana-mana kelab yang berhasrat menaikkan harga tiket perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, setiap kelab mempunyai hak masing-masing dalam menentukan harga tiket yang dijangka naik ekoran peningkatan kos operasi gara-gara krisis pandemik Covid-19.

"Semua itu (harga tiket perlawanan Liga-M) terpulang kepada kelab yang terlibat. MFL tidak menetapkan sebarang harga siling kerana keputusan mengenai kenaikan harga tiket itu akan dibuat kelab berkenaan.

"Bagaimanapun, selaku badan pentadbir Liga-M, kami di MFL berharap kenaikan harga tiket itu nanti biarlah berpatutan dan munasabah. Jangan sampai menyusahkan penyokong masing-masing.

"Sekarang kita dalam usaha untuk membawa kembali penyokong ke stadium. Jangan disebabkan isu tiket melambung tinggi, penyokong yang selama ini ternanti-nanti untuk kembali ke stadium terpaksa melupakan hasrat mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada masa sama, Ab Ghani menggesa kelab yang berhasrat menaikkan harga tiket perlawanan Liga-M musim ini untuk segera menghantar cadangan mereka kepada MFL.

"Sekali lagi saya ingatkan, minta pihak yang terlibat memaklumkan kepada pihak MFL tentang kadar baharu tiket yang dicadangkanuntuk kami teliti terlebih dahulu,” jelasnya.

Sebelum ini, Ab Ghani memaklumkan, pihaknya tidak menghalang kelab Liga-M menaikkan harga tiket perlawanan walaupun terdapat saranan supaya ia dikekalkan berikutan situasi semasa Covid-19.

Pada Jumaat, Sukan Sinar melaporkan keresahan peminat dan penyokong bola sepak tempatan apabila tiket perlawanan Liga-M dijangka naik sekitar RM5 hingga RM10 di sebalik alasan kos tambahan yang perlu ditanggung setiap kelab.

Klik di sini untuk terus membaca