TERUSAN Suez yang dimiliki Mesir mengendalikan sekitar 10 peratus perdagangan maritim antarabangsa. Ia merupakan salah satu laluan air tersibuk di dunia yang menyediakan penghubung penting untuk penghantaran minyak, gas asli dan kargo antara Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.
Ketika dibuka lebih 150 tahun yang lalu, terusan itu sepanjang 164 kilometer (km) dan kedalaman lapan meter (26 kaki), tetapi setelah beberapa penambahbaikan sepanjang tahun, kini panjangnya ialah 193km dan kedalaman 24 meter (78 kaki).
Selama beratus tahun Terusan Suez telah menjadi salah satu daripada sumber pendapatan utama dalam mata wang asing untuk kerajaan Mesir.
1. Berapa banyak lalu lintas yang melalui Suez?
Secara purata, 50 kapal melalui Terusan Suez setiap hari.
Menurut Suez Canal Authority (SCA), hampir 19,000 kapal, dengan jumlah berat muatan kargo 1.17 juta tan melewati terusan pada tahun 2020. Ia merupakan satu rekod iaitu muatan kargo kedua tertinggi dalam sejarah terusan itu.
Bayaran tol yang dikenakan untuk melalui Terusan Suez bergantung kepada jenis dan saiz kapal selain berat kargo. Kebiasaannya bayaran tol boleh melebihi AS$100,000 (RM414,650).
2. Laluan terpantas untuk pengangkutan minyak
Sebilangan besar minyak yang diangkut melalui laut melalui Terusan Suez yang merupakan persimpangan terpantas antara Lautan Atlantik dan Lautan Hindi tetapi menuntut tol yang besar.
Perjalanan antara pelabuhan di negara Teluk dan London, United Kingdom misalnya, dikurangkan kira-kira separuh dengan melalui Suez - dibandingkan dengan laluan alternatif di sekitar hujung selatan Afrika.
Sebilangan besar kargo yang bergerak dari negara Teluk ke Eropah Barat adalah minyak. Barangan dan bijirin yang dihasilkan juga sering melalui terusan antara Eropah dan Amerika Utara dan Asia.
3. Apa yang berlaku di Terusan Suez?
Pada hari Selasa, sebuah kapal kontena seberat 200,000 tan yang menuju ke Rotterdam, Belanda melalui Terusan Suez.
Kapal kontena sepanjang 400 meter itu bernama Ever Given ditiup ribut menyebabkan ia merentangi dan menghalang laluan terusan. Ia menyebabkan sekatan ke atas sekurang-kurangnya 100 buah kapal.
Kapal kontena tersebut telah dipulihkan sebahagiannya dan lalu lintas dijangka akan beroperasi semula tidak lama lagi, kata ejen pelabuhan GAC, yang memetik Suez Canal Authority.
4. Apakah kesan ke atas perdagangan dunia
Sekatan lalu lintas di Suez oleh Ever Given memberi kesan besar ke atas penghantaran kargo global yang bergerak antara Laut Mediterranean dan Laut Merah.
Menurut firma analisis minyak, Vortexa, puluhan kapal tangki yang membawa berjuta-juta tong minyak tersekat dan gagal melepasi Suez.
5. Bagaimana ia mempengaruhi pasaran minyak?
Harga minyak telah meningkat 2 peratus kerana kejadian itu.
Minyak mentah Brent melonjak 2.1 peratus kepada AS$62.09 (RM257.46) setong, setelah jatuh 5.9 peratus dan mencecah paras rendah AS$60.50 (RM250.86) pada hari sebelumnya.
Dagangan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat 2 peratus pada AS$58.95 (RM244.44) setong, setelah mengalami kerugian 6.2 peratus pada sesi sebelumnya.