[WAWANCARA] Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) menjadi medan penting untuk menghapuskan segala kesangsian yang ditimbulkan pihak tertentu dalam parti itu.
Beliau berkata, walaupun ramai yang menganggap UMNO sudah tidak relevan tetapi parti ini tetap menjadi rebutan ramai.
"Bagi saya ia memberikan indikasi bahawa UMNO mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi. Apa pun UMNO tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi,” katanya.
Ikuti kupasan Asyraf Wajdi menerusi wawancara khas bersama wartawan Sinar Harian, NURHIDAYAH HAIROM dan MOHD HAFIZ ISMAIL baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan yang pertama selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan dan pernah menjadi pembangkang. Apakah yang membezakan UMNO kini dan sebelumnya?
ASYRAF WAJID: Kalau kita lihat menerusi tradisi UMNO, parti ini memang tidak pernah sunyi daripada gelora. Sejak awal penubuhan, Datuk Onn Jaafar pernah mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada kaum lain yang menerima tentangan daripada peringkat akar umbi dan ahli. Akhirnya orang yang mengasaskan UMNO itu sendiri terpaksa keluar parti.
Bagi saya, itu saat lebih mencabar kerana UMNO pernah diharamkan dan perlu meraih semula keyakinan orang ramai untuk kembali mendukung UMNO.
Kemudian kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sehingga tertubuh parti baharu. Memang secara tradisi UMNO tidak pernah sunyi dengan kontroversi, gelora dalam dan luaran.
Begitu juga dengan konteks hari ini dengan kita melalui siri-siri gelora itu dengan suasana yang bagi saya adalah sesuatu yang biasa tetapi paling penting di Perhimpunan Agung UMNO inilah, semua pihak berbincang secara terbuka mengikut semangat kekeluargaan.
Dalam fasa setahun ini cukup menarik kerana daripada kita menjadi pembangkang pada perhimpunan agung yang lepas kepada sebahagian daripada kerajaan pada masa ini. Walaupun bukan secara mutlak tetapi sebahagian kepimpinan parti sudah berada dalam kerajaan. Sudah pasti suasana itu berbeza.
- Mengapa PAU2020 cukup penting kepada parti?
Perhimpunan Agung kali ini sesuatu yang penting untuk diambil kesempatan oleh semua pihak terutama kepimpinan dan akar umbi bagi memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam parti pada hari ini dan ke mana hala tuju hendak dibawa oleh kepimpinan tertinggi parti.
Dalam suasana yang ada dalam isu-isu berbangkit, ramai mungkin tidak betul-betul memahami dinamika politik yang ada kerana waktu kita hendak menyertai sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), pada waktu itu kita terpaksa buat keputusan tanpa memanggil ahli-ahli di peringkat akar umbi di mana Majlis Kerja Tertinggi menjadi ‘platform’ mewakili suara akar umbi ini.
Pada waktu itu kita melihat perlunya untuk kita menyelamatkan negara daripada terus porak-peranda.
Kedua, kita faham bahawa kemasukan UMNO dalam kerajaan dalam keadaan tidak stabil. Bahkan pada waktu itu kita berbincang bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan rakan Muafakat Nasional iaitu Pas bahawa kerajaan ini bukan kerajaan yang dapat bertahan lama.
Kita ambil tanggungjawab ini sebagai satu pendekatan seketika bagi menstabilkan kerajaan dan semua sepakat untuk kita kembalikan mandat kepada rakyat.
Kita sedar bahawa kerajaan ini belum mendapat mandat yang penuh daripada rakyat kerana apa yang dilakukan adalah bagi menyelamatkan keadaan semasa disebabkan oleh perbalahan dalam PH sehingga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada gabungan tersebut.
Ketiga, memang daripada awal UMNO menyatakan sokongan kepada kerajaan ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Kita tidak pernah ada perubahan yang menggambarkan bahawa UMNO tidak konsisten.
Saya ingin nyatakan UMNO tidak pernah cakap tidak serupa bikin dalam soal ini. Kita kena ingat kembali kepada kenyataan media pada 11 Mac iaitu seminggu selepas tertubuhnya kerajaan baharu.
Kita telah membuat ketetapan jelas bahawa UMNO menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan baharu sehingga ke PRU15.
Soal bagaimana kita bekerjasama dengan parti-parti yang membentuk kerajaan pada pilihan raya, itu bergantung kepada perundingan selepas itu.
Kita perlu bincang semua ini dalam Perhimpunan Agung UMNO agar tidak timbul lagi ‘suara-suara nyamuk’ yang kadangkala cuba untuk mencetuskan kesangsian dan akui suara ini berimbuhan serta mempunyai elaun. Kita tidak mahu tuduh sesiapa tetapi semacam ada usaha-usaha agar sesama ahli UMNO saling berprasangka.
Memang ada yang cemburu dengan UMNO, walaupun ramai yang kata parti ini sudah tidak relevan lagi tetapi hakikatnya UMNO menjadi rebutan ramai termasuklah PH dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengakui mengadakan rundingan dengan UMNO, DAP juga mengaku dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut menyatakan kesediaan mereka untuk bersama.
Itu tidak termasuk Bersatu yang diibaratkan seperti marah-marah sayang. Sekejap kata mahu bertanding semua kerusi di Terengganu. Apabila kita buat keputusan tidak bersama, mereka menyatakan boleh berunding pula.
Bagi saya, ia memberikan indikasi bahawa UMNO mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi. Apa pun UMNO tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi.
- Apakah yang membuatkan UMNO terus mendapat sokongan rakyat?
Selepas UMNO tewas pada PRU14, saya tidak menoleh ke belakang dan turun ke bawah menemui 172 daripada 191 bahagian. Saya dapati akar umbi ini masih kuat dan tidak berganjak.
Pada satu ketika ramai melompat parti tetapi tidak ada satu cawangan pun yang dibubarkan. Bahkan suasananya luar biasa kerana yang melompat ini pemimpin yang mempunyai kepentingan sahaja tetapi ahli akar umbi tidak, kerana kesetiaan selain yakin bahawa parti ini boleh bangkit kembali.
Sebab itu apa sahaja keputusan parti, ia tidak pernah dibuat dengan meminggirkan suara hati akar umbi. UMNO bukan seperti sesetengah parti di mana keputusan Presiden atau MKT itu akan menjadi satu keputusan yang perlu didengari dan dipatuhi.
Akan tetapi proses sampai kepada sesuatu keputusan penting datang daripada bawah lagi iaitu mesyuarat di cawangan dan diangkat ke peringkat bahagian lalu dibawa kepada perhubungan negeri kemudian diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO.
Saya beri satu contoh di mana kita nak bekerjasama dengan Pas yang menjadi seteru sejak berpuluh tahun, ia bukanlah sesuatu yang mudah.
Peringkat awal ia ditentang oleh ahli akar umbi kerana mereka merasai keperitan selama ini.
Bagaimanapun kita menggerakkan agenda penyatuan ummah ini dan ia bukan berlaku di peringkat atas tetapi bermula di cawangan dan bahagian.
Lebih 800 program penyatuan ummah berlangsung sehingga kita memeterai Muafakat Nasional dan itu pun selepas dipersetujui di peringkat MKT dan Majlis Syura Ulama Pas.
Maknanya di peringkat UMNO, itu memang prosesnya dan sebab itu bukan mudah untuk kita buat satu-satu keputusan terutama apabila kita kononnya nak bekerjasama dengan DAP dan PKR.
Pertama, kepimpinan tidak pernah berbincang mengenai perkara ini dan kita kena faham sentimen di peringkat bawah.
Bila ada suara sumbang menyatakan seolah-olah kita ada perjanjian sulit di belakang tabir. Perkara itu sebenarnya tidak masuk akal kerana mana mungkin UMNO membuat keputusan ‘dalam selimut’ kerana perkara penting perlu diputuskan oleh parti tetapi pada masa yang sama perlu menyantuni suara hati akar umbi.
Sama juga dengan hubungan kita dengan Bersatu di mana MKT memutuskan bahawa 128 UMNO bahagian membuat usul secara rasmi mengenai rasa kurang selesa mereka untuk bersama parti tersebut.
Ia tidak sama dengan hubungan kita dengan Pas kerana dengan Bersatu, tidak berlaku secara bersahaja malah wujud persaingan di peringkat bawah termasuklah perebutan ahli. Ini saya pernah suarakan supaya kepimpinan menyatakan dasar agar jangan ada mana-mana ahli dari parti lain melompat ke parti lain dalam suasana permuafakatan ini.
Ini yang dilakukan dalam PH dan Pakatan Rakyat. Kita belajar daripada mereka dan daripada sejarah kita bekerjasama dengan Pas pada 1974 sebabnya berlaku persaingan dan berebut ahli. Tapi kenapa tidak berlaku sekarang dengan Pas? Sebab ahli UMNO dan Pas sudah matang. Masing-masing ada penyokong tersendiri. Tiada perbahalan.
Tapi Bersatu berbeza daripada awal. Bersatu ditubuhkan dengan tujuan mengambil alih UMNO, sebagai parti alternatif menggantikan UMNO. Itu sendiri pun akan berlaku konflik yang jelas. Maknanya tiada satu ideologi yang berbeza. UMNO dan Pas nampak juga ada perbezaan.
UMNO dan Bersatu tiada perbezaan, boleh dikatakan hampir majoriti besar dalam kepimpinan atau akar umbi bersatu adalah bekas kepimpinan dan ahli UMNO atas faktor kecewa, kalah bertanding, berpindah kepada Bersatu dan sebagainya.
Jadi ini antara perkara yang menyumbang kepada ketidakselesaan di peringkat akar umbi yang akhirnya sebagai kepimpinan kita kena ambil kira.
- Apakah jangkaan isu-isu yang mungkin dibangkitkan bagi PAU kali ini?
Saya rasa jangkaan yang paling utama sekali hala tuju UMNO untuk berhadapan dengan PRU yang kita jangkakan ini merupakan PAU terakhir sebelum PRU.
Maknanya hala tuju itu penting. Apakah ketetapan kepimpinan sama ada kita akan berhadapan dengan PRU sebagai hanya BN atau kita mengekalkan hubungan kita dengan MN.
Bagi saya ini perkara yang rakyat dan ahli pun nak tahu. Setakat hari ini kita masih lagi berpegang dengan piagam kita dengan Pas.
Kita tidak pernah mencurangi sahabat dalam muafakat. Tak pernah keputusan kita dibuat secara bersendirian. Sekarang ini pun dua minggu sekali kita masih mengadakan mesyuarat walaupun hakikatnya Pas sudahpun berada dalam PN.
Cuma, ini antara perkara penting untuk kita bincang.
Kedua, isu yang menyentuh rakyat juga akan menjadi satu tema penting kerana seperti saya katakan, UMNO dan rakyat ini tidak boleh dipisahkan.
Jadi perkara-perkara yang penting yang menyentuh isu-isu kehidupan rakyat sudah tentu akan dibangkitkan oleh pembahas-pembahas dari negeri-negeri.
Ini perkara biasa sejak dulu walaupun waktu kita menjadi kerajaan. Rakyat sentiasa menantikan apakah resolusi yang akan terbit daripada PAU. Kerana resolusi inilah ketika menjadi kerajaan, akan menjadi dasar kerajaan.
Waktu kita menjadi pembangkang, orang menantikan juga kerana apakah isu-isu yang kita bangkitkan ini akan menjadikan kita pembangkang yang bertamadun, yang mengkritik bukan hanya sekadar beremosi.
- Apakah harapan yang banyak dibangkitkan di peringkat cawangan dan bahagian terhadap masa depan UMNO?
Harapan yang banyak dibangkitkan ialah UMNO kena kembali menerajui tampuk kepimpinan dan untuk itu, UMNO kena belajar daripada kesilapan yang menyebabkan rakyat menolak kita dalam PRU lepas.
Ini harus diakui oleh semua termasuk kepimpinan. Denyut nadi dan suara hati rakyat itu sentiasa kepimpinan ambil kira.
Sebab itu saya selalu sebut bahawa apabila kita jatuh, adalah satu hikmah yang besar. Ujian yang mahu UMNO berubah.
Siapa sangka kita hanya jadi pembangkang 22 bulan dan kembali menyertai kerajaan walaupun bukan secara mutlak tetapi sekurang-kurangnya tuhan beri peluang untuk melakukan proses pembaikan. Ini satu proses yang amat positif.
PAU2020 mampu menyatukan kembali UMNO
SINAR HARIAN: Sejauh mana Datuk melihat PAU 2020 mampu menyatukan perpecahan yang berlaku dalam UMNO? Sebab itu saya katakan PAU ini sentiasa menjadi medan penyatuan. Akar umbi ini tidak berpecah, yang mencetuskan konkflik ini kadang-kadang segelintir kepimpinan dan perkara itu sudah menjadi lumrah. Kepimpinan yang banyak menentukan bagaimana UMNO dapat digembelingkan.
Itu yang pentingnya PAU ini bukan hanya kepimpinan tetapi idealisme dan juga matlamat perjuangan.
Maknanya kalau kita jelas, dipersetujui dalam PAU, contohnya seperti sekarang, keputusan untuk membuat satu percaturan politik itu, ada yang setuju dan ada yang tidak.
Tetapi apabila PAU membuat satu ketetapan, itulah yang akan dipegang oleh semua. Jadi tidak ada lagi suara-suara yang mampu untuk menafikan.
Contohnya, apabila kita mahu bekerjasama dengan Pas, walaupun ada tentangan daripada beberapa kepimpinan, tetapi apabila PAU membuat keputusan untuk kita memperkasa hubungan kita dengan Pas sehingga termerai piagam MN, apakah kita dengar suara-suara nyamuk ini?
Tidak ada. Kerana itu PAU adalah medan terbaik penyatuan segala hala tuju, matlamat dan juga mencairkan kesangsian sama ada dicetuskan oleh mereka yang berkepentingan atau dimainkan oleh pihak yang mencemburui UMNO menggunakan ejen-ejen dalam parti sendiri.Semua itu akan dapat kita jernihkan. Itu sejarah yang telah kita saksikan bila UMNO ada konflik besar Ku Li dan Mahathir sehingga terpecah. Akhirnya bila tubuh parti baru, PAU yang menjadi faktor penyatuan kepada semua orang Melayu.
Sama juga dengan isu Anwar dan Muhyiddin bila dipecat.
PAU menjadi medan yang menyatukan ahli. Cuma yang paling mustahak UMNO kena sentiasa ingat bahawa PRU sebelum ini mengajar kita bahawa kemenangan UMNO tidak hanya bergantung kepada 3.7 juta ahli sebab lanskap politik hari ini sudah berubah.
- Apakah kerajaan sekarang stabil dan untuk PRU adakah perlu tunggu hingga habis penggal?
Bagi saya semua bergantung kepada suasana pandemik. Kalau belum berakhir dan rakyat gelisah, kita tidak boleh bersikap tidak bertanggungjawab untuk paksa rakyat makin resah dengan melaksanakan PRU.
Sebab itu pendirian kita jelas. Kerajaan ini perlu dapat mandat mutlak daripada rakyat, tetapi setelah Covid-19 ini reda. Ditakdirkan setelah darurat selesai Ogos ini, Muhyiddin pun sebut sedia lakukan PRU.
Kalau Muhyiddin nak tangguhkan sampai 2023, apa jaminan kepercayaan pelabur kepada kestabilan dan kekuatan kerajaan ini masih boleh kita pertahankan.
Sebab seperti kita tahu gabungan dalam PN ini sendiri pun adalah gabungan yang amat longgar. Ketetapan awal UMNO pun daripada awal kita mahu bersama Pas.
Klik di sini untuk terus membaca