MENEPATI jangkaan semua pihak, ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad sememangnya penuh sindiran dan kejutan.
Selain menjustifikasi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ahmad Zahid dengan lantang mengingatkan Pas bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia bergerak solo sekiranya parti itu terus mengikut rentak Perikatan Nasional (PN).
Lebih menarik, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mendesak perwakilan PAU ‘melakukan sesuatu’ bagi menghalang kerajaan PN terus berkuasa.
Suara itu disambut Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang mendesak semua pemimpin UMNO yang berjawatan dalam kerajaan PN meletak jawatan serta-merta.
Di sebalik penegasan dasar 'No Anwar, No DAP, No Bersatu', masih terdapat kecelaruan mengenai hala tuju sebenar UMNO pasca PRU15 memandangkan Ahmad Zahid turut memberi isyarat parti itu sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja bagi membentuk kerajaan.
Pada saat UMNO kembali yakin parti itu menjadi pilihan rakyat, terdapat pandangan mengatakan UMNO sebenarnya masih gagal mengambil pelajaran daripada kekalahan PRU14.
Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, faktor yang gagal diambil kira oleh Ahmad Zahid adalah kemenangan-kemenangan UMNO pada tujuh pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sebenarnya turut disumbangkan menerusi kerjasama Pas atas naratif penyatuan ummah.
"Memasuki gelanggang PRU secara sendirian menjadikan retorik penyatuan ummah dilaung-laungkan UMNO-BN tidak lagi berkesan untuk menarik sokongan pengundi Melayu.
"Pada PRU15, pola pengundi muda dan pengundi protes dianggarkan sekitar 26 peratus, menyebabkan undi popular UMNO dijangka terus menurun berbanding 59.91 peratus pada PRU13 kepada 33.8 peratus (PRU14).
"Dengan kepimpinan sedia ada terpalit kes mahkamah, mungkin sukar untuk UMNO-BN menarik kembali sokongan pengundi protes parti itu sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menyelami idea UMNO melaksanakan penjajaran politik baharu pasca PRU15, Anis Anwar menjelaskan rakyat perlu melihat langkah sedang diatur menerusi PAU 2020 itu dalam kerangka menyeluruh.
Menurutnya, pada saat ini, akar umbi UMNO sememangnya tidak boleh menerima idea bekerjasama dengan PKR dan DAP yang dianggap bertentangan dengan prinsip mereka.
"Justeru, untuk meletakkan UMNO pada posisi yang boleh berunding dengan mana-mana pihak, sebarang kerjasama mengikat UMNO-BN perlu dileraikan.
"Secara jelas, UMNO meletakkan dua pendirian berbeza pada PAU kali ini iaitu pendirian kerjasama politik semasa PRU15 iaitu bergerak solo serta pendirian jajaran politik selepas PRU15 yang terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti.
"Dua pendirian ini membolehkan UMNO mengorak langkah politik lebih besar dan luas agar mereka akan memiliki kelebihan pada rundingan tawar-menawar membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti lain termasuk blok pembangkang," katanya.
Bagaimanapun, terdapat pemerhati politik yang berpandangan keputusan UMNO bergerak secara solo ialah rasional dengan landskap politik semasa dan dianggap sebagai tepat.
"Tanpa terikat dengan Pas, UMNO-BN boleh bertanding dengan Pas dan tidak semestinya Pas akan menang lebih banyak kerusi daripada dahulu.
"Kemungkinan besar akan berlaku ialah UMNO dan Pas akan mencapai persetujuan saat akhir sebelum hari penamaan calon PRU15, dengan Pas akan berkecuali di antara UMNO dan Bersatu. UMNO juga akan meminimumkan pertembungan dengan Pas di luar Kelantan dan Terengganu,” kata saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat.
Tegas beliau, UMNO mesti memulakan segera usaha menonjolkan jenamanya dengan dasar-dasar yang lebih baik daripada dasar-dasar kerajaan PN dan bukan bergantung kepada serangan kesat yang bertubi-tubi terhadap parti lawan.
"Kalau akar umbi terlalu asyik dengan propaganda terhadap parti lawan, tak kira pembangkang, Bersatu atau Pas, nanti akar umbi akan rasa tertipu dan memberontak bila UMNO nak berbaik-baik semula dengan 'parti-parti lawan yang jahat' selepas PRU15 untuk berkongsi kuasa sebagai kerajaan," katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman mengalu-alukan pendirian UMNO-BN menolak golongan 'pengkhianat' dan 'gila kuasa'.
Jelas beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat secara positif usaha UMNO untuk melakukan reset politik dengan memberikan isyarat penjajaran baru pasca PRU15.
"Setakat perubahan ideologi demi kepentingan rakyat, saya yakin sekiranya kerjasama politik berjaya dimeterai, parti-parti ini (UMNO-PKR) akan mampu mencari formula terbaik," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca