SHAH ALAM - Kakitangan badan beruniform yang bekerja dalam keadaan tertekan seharusnya tampil kehadapan bagi memulihkan perasaan mereka melalui unit kaunseling memandangkan golongan ini antara yang sering mengalami masalah tekanan di tempat kerja.
Ini perlu ekoran sejak kebelakangan ini banyak kes melibatkan golongan berkenaan yang sanggup membunuh diri akibat tekanan hidup.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sebenarnya kes bunuh diri dapat diatasi sekiranya mana-mana anggota yang mengalami tekanan tampil kehadapan untuk dapat bantuan dengan merujuk unit kaunseling di tempat kerja.
"Kita mesti mengatasi masalah ini dengan segera jika mengalami kemurungan memandangkan jika individu itu mengalami masalah berkenaan ia akan menimbulkan pelbagai perkara yang negatif dan akan lebih parah seseorang itu tidak dapat berfikir dengan waras.
"Kes seperti kemurungan ini sebenarnya dapat dibantu dan perlu ke hadapan untuk dapatkan kaunseling dengan segera,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas berhubung kejadian melibatkan seorang anggota polis berpangkat koperal dipercayai menembak mati anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya di Seremban pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.42 petang, yang memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki sudah meninggal dunia dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.
Sementara itu, Lam Thye berkata, berhubung kes berkenaan pihaknya turut mencadangkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mempertingkatkan lagi khidmat unit kaunseling, supaya golongan anggota dan pegawai yang mengalami masalah dan tekanan dapat mengadu kepada pihak kaunselor yang bertauliah dan dilantik dalam usaha membantu pihak berkenaan.
"Lagipun bilangan anggota dan pegawai polis kini semakin bertambah dan aspek kesihatan dan kesejahteraan mental amat penting bukan sahaja kepada golongan PDRM yang merupakan barisan hadapan.
"Perkara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan masalah kemurungan yang dihadapi tanpa bantuan dan nasihat kaunseling akan menyebabkan pelbagai tindakan yang negatif termasuk ada yang sanggup bunuh diri dan pelbagai lagi masalah yang akan timbul, maka usaha menanganinya perlu bagi membantu golongan yang memerlukan sokongan supaya kes seumpama ini tidak berulang lagi," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca