SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii membidas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar tidak memainkan sentimen populariti berhubung isu pemilihan parti.
Beliau berkata, bekas Ketua Pemuda UMNO itu seharusnya sudah jelas dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk membuat pemilihan pada September atau Oktober tahun ini.
"Dalam PAU 2019 kita sudah berjanji tidak akan tangguh pemilihan. Jadi saya minta Khairy Jamaluddin supaya tidak buat persepsi yang akan melaga-lagakan ahli parti.
"Beliau sepatutnya membuat kenyataan yang boleh meletakkan bahawasanya tidak perlu ada stigma bahawa UMNO akan tangguh pemilihan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: KJ gesa segerakan pemilihan UMNO, selesai kemelut dalaman parti
Mohd Razlan berkata, kenyataan Khairy Jamaluddin agar menyegerakan pemilihan juga tidak sewajarnya dibuat ketika ini.
"Ayat menyegerakan itu tidak betul. Sebab apa? Memang kita hendak buat pemilihan tahun ini.
"Dalam PAU sebelum ini pun tidak ada orang sebut pasal pemilihan sebab kita sudah sedia maklum mengenai perkara itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta semua ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet supaya melepaskan jawatan sebelum pemilihan parti diadakan.
Jelasnya, tindakan itu perlu bagi mengelak UMNO berterusan menjadi bahan tohmahan oleh pihak-pihak tertentu.
"Kita serah kepada Majlis Tertinggilah untuk bincang perkara ini. Tapi, eloklah kalau kita nak percepatkan saya rasa cara yang terbaik adalah semua menteri-menteri Kabinet dan timbalan menteri dapat undurkan diri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca