SHAH ALAM - Barisan Jemaah Menteri tidak perlu dirombak susulan kesemua menteri daripada UMNO kekal dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN). Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Barisan Jemaah Menteri tidak perlu dirombak susulan kesemua menteri daripada UMNO kekal dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sekiranya berlaku rombakan kabinet, ia akan menimbulkan masalah untuk mendapatkan calon sesuai bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan.

"Kedudukan sangat tipis dan calon terbatas. Tambahan pula dalam darurat, kuasa Yang di-Pertuan Agong lebih berperanan dan berkuasa berbanding kabinet sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang mahu menteri daripada parti itu meletak jawatan jika UMNO menarik diri daripada PN, katanya, ia sukar dikuatkuasakan kerana mereka yang berada dalam kabinet telah selesa dengan jawatan dan kedudukan sedia ada.

"Jika mereka menarik diri, belum tentu mereka dapat pegang jawatan yang sama kelak.

"Mereka melihat pergolakan dalaman UMNO semakin sengit dan sukar bagi mereka menerima tindak tanduk kepimpinan parti,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan seramai 14 menteri daripada UMNO mencapai persepakatan untuk terus kekal berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, persepakatan itu dicapai dalam pertemuan bersama Menteri UMNO pada Isnin lalu.

Menurutnya, nasihat diberikan agar mereka kekal dalam kerajaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

Muhyiddin berkata, dalam senarai Kabinetnya, terdapat beberapa orang Menteri UMNO memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan.

Klik di sini untuk terus membaca