SHAH ALAM - Penggubalan undang-undang sahaja adalah tidak mencukupi bagi memastikan fenomena isu pemimpin lompat parti tidak memberi kesan negatif kepada amalan demokrasi negara.
Sebaliknya, Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berpandangan keazaman rakyat untuk menolak mana-mana wakil rakyat yang tidak berprinsip dan sering ‘lompat parti’ dalam sesebuah pilihan raya adalah kunci penyelesaian paling utama.
Jelas beliau, amalan wakil rakyat lompat parti demi kepentingan diri adalah satu perkara biasa yang turut berlaku di beberapa negara seperti India, New Zealand, Papua New Guinea dan Amerika Syarikat.
"Beberapa negara yang mengalami masalah wakil rakyat lompat parti yang serius seperti India, New Zealand dan Papua New Guinea akhirnya menggubal Akta Anti Lompat Parti di negara masing-masing bagi tujuan membendung amalan itu.
"Bagaimanapun, penggubalan akta itu masih tidak menyelesaikan isu berkenaan kerana segelintir ahli politik licik menggunakan lompang dalam akta berkenaan untuk mewajarkan alasan mereka melompat parti.
"Sebagai contoh, seperti negara New Zealand, Akta Anti Lompat Parti hanya terpakai kepada seseorang wakil rakyat yang lompat parti secara bersendirian. Namun, jika sekumpulan wakil rakyat lompat parti dan menubuhkan parti baharu, ia tidak menyalahi akta digubal,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Asri berkata, tempoh penggal pentadbiran sesebuah kerajaan yang singkat juga menyukarkan tindakan undang-undang diambil terhadap si pelaku lompat parti sekiranya pendakwaan dikemukakan terhadap mereka.
Katanya, kes pendakwaan di mahkamah kebiasaannya memerlukan tempoh masa lama dengan penggal pentadbiran sesebuah kerajaan di Malaysia selama lima tahun masih dianggap waktu yang singkat.
"Apabila seseorang wakil rakyat melompat parti pada pertengahan pentadbiran sesebuah kerajaan, kes pendakwaan terhadap individu berkenaan kebiasaannya mengambil masa tempoh beberapa tahun untuk diselesaikan.
"Bayangkan kes mahkamah belum selesai, tiba-tiba pilihan raya baharu diadakan pula. Wakil rakyat berkenaan berkemungkinan boleh bertanding dengan parti baharu disertainya kerana beliau masih belum disabitkan kesalahan,” katanya.Sementara itu, Muhammad Asri berpendapat amalan wakil rakyat Malaysia lompat parti paling teruk berlaku pada tahun 2020 kerana fenomena itu bukan sahaja mengakibatkan kerajaan tidak stabil, bahkan menyaksikan keruntuhan sebuah kerajaan dipilih rakyat di peringkat persekutuan.
"Berdasarkan corak wakil rakyat melompat parti pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), peratusan mereka yang lompat parti menyertai blok kerajaan adalah jauh lebih tinggi berbanding sebaliknya.
"Hal ini jelas menunjukkan tawaran imbuhan jawatan oleh pihak kerajaan serta peluang mengukuhkan kedudukan politik menjadi faktor utama majoriti wakil rakyat lompat parti ketika ini,” katanya.
Di sebalik kebimbangan fenomena wakil rakyat lompat parti menjadi barah pada masa hadapan, Muhammad Asri mengajak rakyat untuk terus mempercayai ketelusan amalan demokrasi dengan pengundi perlu memainkan peranan penting menolak wakil rakyat ‘tidak berkualiti’.
"PRU diibaratkan seperti pasar di mana rakyat sebagai pembeli akan cenderung memilih produk tahan lama dan bernilai.
"Sejarah membuktikan wakil rakyat yang lompat parti kebiasaannya ditolak rakyat dan sukar mengekalkan kemenangan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca