SHAH ALAM - Fenomena ahli Parlimen lompat parti yang semakin berleluasa di Malaysia sukar dibendung selagi mana Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda dan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak dilaksanakan segera. Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Fenomena ahli Parlimen lompat parti yang semakin berleluasa di Malaysia sukar dibendung selagi mana Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda dan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak dilaksanakan segera.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan amat diperlukan bagi mengubah kesan kes Nordin Salleh menentang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada April 1992.

Jelas beliau, merujuk kes berkenaan, Mahkamah Agung pada ketika itu memutuskan undang-undang yang mewajibkan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertukar parti, untuk mengosongkan kerusi berkenaan adalah bercanggah dengan kebebasan berpersatuan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini ekoran tindakan kerajaan Kelantan, diikuti Sabah dan terbaharu Pulau Pinang menggubal Akta Anti Lompat Parti bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti.

"Pindaan Perlembagaan diperlukan bagi membolehkan definisi kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan diberi takrifan yang lebih tepat memandangkan tindakan wakil rakyat lompat parti sebenarnya menggugat kestabilan kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.

"Bagaimanapun, langkah itu sahaja tidak mencukupi, sebaliknya satu lagi pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat bagi membolehkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipisahkan.

"Selagi Peguam Negara menjadi penasihat kepada Perdana Menteri dan turut berfungsi sebagai Pendakwa Raya, amat sukar bagi negara mencapai keadaan political equality di antara blok kerajaan dan pembangkang.

"Selagi excessive powers of incumbency tidak diperbetulkan, selagi itu matlamat penggubalan Akta Anti Lompat Parti di peringkat persekutuan tidak dapat dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas sejauh mana akta anti lompat parti dapat digubal di negara ini bagi mengatasi masalah kekerapan wakil rakyat terutama ahli Parlimen bertukar parti.

Fenomena wakil rakyat lompat parti di Malaysia turut menyaksikan bukan sahaja pentadbiran kerajaan di beberapa negeri bertukar tangan, bahkan turut berlaku pertukaran pentadbiran di peringkat Putrajaya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan tindakan wakil rakyat melompat parti tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, penggubalan Akta Anti Lompat Parti di negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Sabah, tertakluk kepada perintah mahkamah yang sebelum ini telah memutuskan sebarang undang-undang berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Sementara itu, Zaid yang pernah menganggotai DAP menegaskan ungkapan wakil rakyat yang dianggap melompat parti perlu dikhusus kepada mereka yang bersifat ‘opportunis’ dan melakukannya semata-mata untuk kepentingan diri.

Jelas beliau, golongan wakil rakyat ‘opportunis’ adalah berbeza dengan pemimpin politik yang ‘bertukar’ parti atas sebab wajar.

"Misalnya apabila terdapat wakil rakyat UMNO menyertai Pas pada tahun 1960 kerana berpendapat perjuangan UMNO pada masa itu tidak menitikberatkan kepentingan Melayu dan Islam.

"Sama juga dengan keadaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bersama pengikutnya dilarang menyertai UMNO baharu pada tahun 1987, maka mereka semua menubuhkan parti baharu, Semangat 46. Itu bukan tindakan melompat parti,” katanya.

Zaid turut berpandangan kuasa pemerintahan kerajaan yang tiada had termasuk kebenaran melantik seberapa ramai menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi faktor utama sejumlah besar wakil rakyat tertarik untuk lompat parti selepas pasca PRU14.

"Elaun wakil rakyat blok kerajaan dianggarkan melebihi RM1 juta setahun, namun peruntukan kepada wakil rakyat parti pembangkang hanya RM100,000 setahun. Budaya politik tidak adil inilah yang menyebabkan ramai lompat parti,”katanya.

Sebagai permulaan usaha membendung fenomena wakil rakyat lompat parti daripada terus berleluasa, Zaid mengharapkan kerajaan dan masyarakat negara ini mestilah mempunyai pendirian moral supaya Malaysia tidak terus dijadikan bahan ketawa dan cemuhan orang luar.

"Pendirian moral teguh di peringkat awam mesti tidak membenarkan opportunis politik daripada terus berkuasa menjadi kuasa penentu politik tanah air.

"Kita perlu perubahan dan kesedaran baharu daripada semua peringkat untuk tidak membenarkan wakil rakyat lompat parti sesuka hati,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca