PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mempersoalkan arahan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk melucutkan kesemua jawatan yang disandang pengurus pasukan sepak takraw wanita negara, Wan Mohd Husni Abdullah berikutan insiden di temasya Sukan SEA Filipina 2019 lalu.
Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, arahan itu juga meragukan terutamanya berhubung penggantungan tugas Wan Mohd Husni menerusi surat kepada Setiausaha Agung PSM bertarikh 19 Mac lalu yang turut memberikan tempoh 14 hari kepadanya untuk memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Disiplin ASTAF.
Bagaimanapun menurut Ahmad, dalam tempoh 14 hari itu juga ASTAF mengeluarkan arahan menerusi surat berkenaan supaya PSM mengeluarkan surat rasmi kepada Wan Mohd Husni berhubung perlucutan kesemua jawatan yang disandangnya.
"Mengikut surat bertarikh 19 Mac, dan Wan Mohd Husni diberikan ruang untuk buat rayuan dalam 14 hari, tetapi dalam tempoh itu juga PSM diarahkan memberikan surat rasmi kepadanya untuk melucutkan semua jawatan yang disandangnya.
"Surat rayuan pun belum dapat dan tempoh rayuan pun belum tamat. Lagi pun perkara ini kena dibincangkan kena pendengaran (hearing) sebelum satu keputusan dibuat, tapi dah suruh lucutkan jawatan? Itu pun kita belum tahun samada Wan Mohd Husni akan merayu atau dia juga akan bawa kes ke mahkamah?
"Lagi satu yang menjadi tanda tanya, surat berkenaan kami terima semalam (kelmarin) 30 Mac 2021, tetapi surat berkenaan bertarikh 1 April dan sekali gus menimbulkan persoalan apakah surat itu dibuat secara tergopoh gapah? Tambahan pula inilah kali pertama PSM menerima surat ASTAF dalam bahasa Melayu. Sebelum ini memang tak pernah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Wan Mohd Husni sebelum ini digantung tugas sementara oleh ASTAF atas kesalahan disiplin gara-gara berkelakuan agresif ketika membantah keputusan pengadil di Filipina.
Beliau didakwa meluru ke arah pengadil Roy Fabay dan melontarkan perkataan tidak sopan semasa aksi final regu lelaki Malaysia menentang Thailand.
Tindakannya itu menyebabkan dia digantung serta merta oleh pengurus pertandingan Sukan SEA, Prof. Jolly Laboy pada 9 Disember 2019 lalu dan sehingga Jawatankuasa Pertandingan dan Jawatankuasa Disiplin ASTAF membuat keputusan selanjutnya, dia (Wan Husni), tidak boleh menyertai mana-mana aktiviti sepak takraw, termasuk sebagai jurulatih, pengurus pasukan dan pemain.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, dia masih menunggu sehingga kini untuk berbincang dengan ASTAF berhubung insiden aksi final tersebut.
Bagaimanapun katanya, sehingga ke hari ini perbincangan itu tidak dilakukan malah sebaliknya ASTAF dilihat lebih banyak berbincang dengan pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan PSM.
"Dia (ASTAF), kata nak jumpa dengan saya, tapi sampai sekarang, tak ada apa pun. Yang dia jumpa orang-orang Malaysia yang tak ada kaitan dengan PSM,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca