SHAH ALAM - Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol sebak setiap kali memikul amanah untuk menguruskan mayat yang tidak dituntut. Beliau yang sudah enam tahun menguruskan sendiri jenazah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol sebak setiap kali memikul amanah untuk menguruskan mayat yang tidak dituntut.

Beliau yang sudah enam tahun menguruskan sendiri jenazah tersebut mengakui pengalaman itu memberikan keinsafan dan mengingatkan tentang kematian.

Disebabkan itu, beliau sentiasa memastikan supaya pengurusan jenazah itu dilakukan dengan secepat mungkin atas rasa tanggungjawabnya kepada saudara seagama.

"Bila lihat keadaan jenazah itu dah mulai mereput, kita akan rasa sedih dan situasi itu akan menyebabkan kita memuhasabah diri kita sendiri mengenai apa yang akan jadi kepada tubuh kita apabila kita dah mati.

"Perasaannya kalau setiap kali saya dapat kes yang tiada waris atau kes yang jenazah macam tidak dituntut ini, yang pertama, saya rasa nak percepatkan lagi pengurusan itu.

"Jadi bila dah dapat pelepasan dan keizinan untuk uruskan mayat itu daripada hospital, kita tidak akan bertangguh dan pastikan urusan pengebumian dilakukan dengan cepat,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Zulhairi berkata, keadaan jasad yang lazimnya sudah mula reput menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihaknya

Katanya, mayat tidak dituntut yang diserahkan kepada pertubuhan itu lazimnya telah disimpan oleh pihak hospital selama kira-kira tiga ke empat bulan.

"Untuk mayat yang telah lama disimpan ini ia akan jadi reput. Keadaan jasad itu bukanlah hancur tetapi bila disimpan terlalu lama dalam peti simpanan tersebut, lama-lama ia akan mengecut.

"Selalu jenazah yang sudah disimpan empat bulan, keadaan jasad masih macam biasa lagi, cuma biasanya ia berada dalam keadaan seperti mata tenggelam dan muka cengkung. Itu adalah situasi biasa, tidak kira siapa pun, benda itu akan berlaku.

"Tapi kalau dah disimpan setahun, seperti yang saya pernah uruskan sebelum ini, proses pereputan akan lebih lagi. Mungkin rambut semua dah gugur, bentuk muka pun dah tiada, badan dah jadi hitam,” katanya.

Pada masa sama, Zulkhairi berkata, tempoh waktu yang diperlukan pasukannya untuk menguruskan mayat tidak dituntut sehingga selesai dikebumikan lazimnya hanya mengambil masa selama dua jam selepas menerimanya daripada hospital.

Katanya, cara menguruskan mayat yang tidak dituntut dilakukan adalah sama seperti pengurusan jenazah biasa.

Sementara itu, beliau berkata, kebanyakan mayat yang tidak dituntut ini berada dalam lingkungan usia 40 tahun ke atas.

Ujar Zulhairi, dalam tempoh sebulan, pihaknya akan menguruskan sekurang-kurangnya dua kes mayat tidak dituntut di seluruh negara.

Menurutnya, sepanjang pengalamannya menguruskan mayat tidak dituntut, jumlah kes sedemikian didapati lebih tinggi di sekitar Lembah Klang berbanding dengan negeri-negeri lain kerana faktor kepadatan penduduk.

Klik di sini untuk terus membaca