SEBANYAK 1,476 mayat dengan kira-kira separuh daripadanya adalah warga tempatan terbiar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh lima tahun lalu selepas tidak dituntut oleh keluarga atau waris masing-masing.
Jumlah mayat paling banyak tidak dituntut adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 314 kes.
Menurut Pakar Perubatan Forensik HKL, Dr Siti Wira Md Yaro, jumlah kes tahunan mayat tidak dituntut yang diuruskan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL bagaimanapun tidak menunjukkan perubahan ketara dari tahun 2016 hingga 2020.
Berdasarkan prosedur operasi standard ditetapkan, setiap mayat yang tidak dituntut perlu disemadikan selepas 14 hari, namun proses itu boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan untuk tujuan pengesahan identiti dan pencarian waris.Keadaan ini, kata Dr Siti Wira, menyebabkan peti simpanan mayat di pusat perubatan itu penuh manakala mayat lain yang baru sampai terpaksa diletakkan di fasiliti lain.
"Mayat tidak dituntut dikelaskan kepada dua kategori iaitu mayat yang tidak mempunyai identiti dan tiada waris serta mayat yang mempunyai identiti tetapi tiada waris,” kata beliau.
Jelasnya, kes yang diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut tersebut melibatkan pekerja migran, pendatang asing tanpa izin serta rakyat Malaysia yang tiada waris.
"Jabatan Perubatan Forensik menerima mayat tidak dituntut daripada dua sumber iaitu kes meninggal dunia dari wad hospital dan mayat dari luar hospital yang diserahkan oleh pihak polis,” katanya kepada Sinar Harian.Ujarnya, dalam mengendalikan kes mayat tidak dituntut, peranan Jabatan Perubatan Forensik HKL merangkumi proses menguruskan penerimaan, penyimpanan, pengidentifikasian dan penyerahan mayat.
Tambah beliau, antara cabaran utama yang terpaksa dihadapi pihaknya adalah untuk membuat pengesahan identiti dan pencarian waris.
"Mengikut Garis Panduan Perkhidmatan Perubatan Forensik 2012, mayat yang tidak dituntut dalam masa 14 hari selepas pendaftaran akan dilupuskan mengikut prosedur kerja.
"Tempoh itu sangat terhad untuk kami lakukan proses tersebut, menyebabkan ia berlanjutan lebih lama,” terang beliau.
Menurutnya, proses mengenal pasti identiti mayat ialah rumit dan melibatkan banyak pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan kedutaan asing jika membabitkan warga asing. Proses siasatan adakalanya memakan masa agak lama untuk diselesaikan turut menyebabkan mayat tidak dituntut tersimpan lama di dalam peti mayat.
Katanya, sekiranya usaha dan prosedur mengesan identiti dan waris gagal dalam tempoh ditetapkan, hospital akan serahkan mayat tersebut kepada pihak yang akan urus proses pelupusan mayat.
"Semua proses pelupusan mayat akan direkodkan tempat pengebumian atau tempat pembakaran.
"Bagi mayat beragama Islam, pihak kami akan merujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk proses pengebumian.
"Mayat bukan Islam dirujuk kepada pihak krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk proses pembakaran. Mayat tidak diketahui agamanya pula, kami akan rujuk kepada Jawi,” katanya.
Menurut Dr Siti Wira Md Yaro, secara amnya, semua mayat disimpan dalam peti mayat dengan suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius.
"Ini bertujuan melambatkan proses pereputan mayat kerana kami tidak menggunakan kaedah mengawet mayat.
"Lebih lama mayat tersebut disimpan dalam peti, keadaan mayat akan menjadi tidak elok kerana proses pereputan akan tetap berlaku dalam kadar yang perlahan,” cerita beliau.
Ujar Dr Siti Wira, disebabkan situasi tersebut, cabaran utama pihak hospital adalah bagaimana untuk memastikan jumlah peti mayat yang tersedia cukup bagi menampung kehadiran mayat baharu.
"Ini kerana mayat ini akan menghuni peti mayat Jabatan Perubatan Forensik dalam tempoh masa yang lama.
"Akibatnya, mayat yang baru diterima tidak ada peti kosong untuk disimpan dan terpaksa menumpang peti mayat di fasiliti kesihatan yang lain.
"Mayat tidak dituntut yang paling lama disimpan untuk tempoh bermula 2016 adalah selama 15 bulan.
"Kes itu disebabkan proses pencarian waris warga asing yang rumit selain ada kes polis,” jelas beliau.
INFO
KES MAYAT TIDAK DITUNTUT
Punca tidak dituntut:
Tiada identiti dan tiada waris
Ada identiti tetapi tiada waris
Pengesahan identiti dan pencarian waris:
Jabatan Pendaftaran Negara (warganegara)
Jabatan Imigresen (warga asing)
Kedutaan negara asing (warga asing)
Polis
Media
Jumlah kes mayat tidak dituntut di IPFN:
2016: 311
2017: 295
2018: 278
2019: 278
2020: 314
Jumlah: 1,476 orang
Klik di sini untuk terus membaca