PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyambut baik tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengemukakan cadangan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan Liga Malaysia (Liga-M) melibatkan perlawanan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Sudah tentu ia satu berita yang melegakan kerana kami perlu membuat persiapan yang secukupnya termasuk mengadakan aksi persahabatan. Kalau kita tengok, negara lain seperti Thailand, Vietnam dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah lama berlatih.
"Malangnya, pasukan kebangsaan sudah lebih setahun tidak berlatih bersama-sama termasuk mengadakan perlawanan persahabatan bagi menguji sejauh mana kekuatan pasukan. Cuma baru-baru ini kita dapat berlatih selama seminggu.
"Jadi saya amat berharap MFL bersetuju dengan cadangan FAM ini supaya pasukan kebangsaan dapat menjalani ‘latihan tambahan’ dan seterusnya melakukan persiapan terbaik menjelang aksi kelayakan nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Pada Rabu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pindaan aksi Liga Super dan Liga Premier itu membolehkan skuad Harimau Malaya menumpukan sepenuhnya perhatian menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di UAE pada Jun depan.
Mengikut jadual, Malaysia dijadualkan menentang UAE pada 3 Jun sebelum membuat perhitungan dengan dua jiran tetangga - Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) bagi mengakhiri saingan Kumpulan G.
Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap skuad kendaliannya dapat mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebelum mengharungi kempen kelayakan tersebut.
"Bagi saya, kami memang perlukan perlawanan persahabatan bagi mengukur dan melihat sejauh mana persiapan pasukan. Harapnya kami mengadakan perlawanan persahabatan sebagaimana yang sedang diatur FAM,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca