HUKUMAN penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 ke atas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa selepas mengasari pegawai perlawanan ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Ipoh bulan lalu dianggap ‘tidak jelas’. Bagi... Klik di sini untuk terus membaca

HUKUMAN penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 ke atas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa selepas mengasari pegawai perlawanan ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Ipoh bulan lalu dianggap ‘tidak jelas’.

Bagi bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, beliau berpendapat sesuatu hukuman itu perlu memberikan kesan mesej yang jelas sebagai pengajaran kepada semua pihak khasnya dalam kalangan pemain Liga Malaysia (Liga-M).

Menurutnya, hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM ke atas Insa pada Khamis akan menjadi penanda aras bukan hanya kepada pemain Liga-M tetapi juga panduan kepada liga bawahan lain di negara ini.

"Saya menghormati keputusan bijak pandai di FAM walaupun mesej yang cuba hendak disampaikan Jawatankuasa Tatatertib FAM masih lagi tidak jelas. Sebaik-baiknya sesuatu hukuman itu harus dirujuk kepada kes terdahulu.

"Guna pakailah dan hormatilah keputusan yang pernah dibuat Jawatankuasa Disiplin FAM sebelum ini jika tidak mahu guna pakai panduan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Penanda aras terbaik dalam kes sebegini adalah dengan merujuk kepada kes melibatkan Ahmad Shahrul Azhar ketika Perak menentang Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) pada saingan Liga Super 2005,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Menurut Subkhiddin, hukuman penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000 yang diputuskan terhadap Ahmad Shahrul ketika itu memberikan mesej jelas sehingga pengadil berasakan tiada lagi ancaman terhadap mereka ketika mengadili sesuatu perlawanan.

"Kita bukan hendak berperang dengan pemain sebenarnya tetapi kelakuan yang ditunjukkan beliau pada masa itu tidak melambangkan karakter seorang pemain kebangsaan.

"Jawatankuasa Disiplin pada masa itu menjatuhkan hukuman dengan mesej jelas kerana sebagai pemain kebangsaan yang juga kapten pasukan, beliau perlu mempamerkan kelakuan yang lebih profesional,” ujarnya.

Terdahulu, Insa dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 susulan tindakannya terhadap pengadil, Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak pada 21 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, Insa didapati bersalah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan selepas menyentuh dada pengadil menggunakan kedua-dua tangannya.

"Jawatankuasa telah memutuskan mengguna pakai Artikel 35 Kod ini yang mana pemain ini dikenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu.

"Baki satu lagi perlawanan adalah ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini. Jika pemain ini didapati bersalah mengulangi kesalahan yang sama, baki hukuman penggantungan satu perlawanan ini akan berkuatkuasa serta-merta,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca