KUALA LUMPUR- JIKA tuah ayam nampak di kaki, tuah Ketua Bentara Istana Negara, Rusli Asri mungkin terletak pada namanya hingga berpeluang mencurah khidmat bakti kepada seramai 10 Yang di-Pertuan Agong.
Bapa kepada tiga cahaya mata dan empat cucu itu bersara wajib pada 29 Mac lalu sekali gus muncul sebagai petugas istana paling lama berkhidmat iaitu selama 40 tahun.
Lebih istimewa, beliau melakar sejarah tersendiri kerana sempat berkhidmat kepada dua generasi Sultan Pahang.
Kerjayanya di istana bermula pada sejak pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Alhamrhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dan berakhir bersama anakanda Almarhum merangkap Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Berkongsi mengenai amanah yang dipikulnya empat dekad itu, Rusli, 60, mengakui bahawa sebenarnya tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bekerja di Istana Negara dan berdamping dengan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya anggap nama Rusli yang arwah bapa berikan pada saya membawa tuah kerana maksudnya sangat dalam.
"Bagi saya, nama itu ibarat akronim kepada perkataan 'Rezeki Untuk Saya Lebih Istimewa' kerana saya diizinkan ALLAH SWT untuk menjaga Yang di-Pertuan Agong, iaitu pemimpin tertinggi negara," katanya kepada Sinar Harian pada temubual eksklusif di Istana Negara baru-baru ini.
Selain Sultan Pahang, bakti sama ditabur kepada Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail (Johor), Almarhum Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah (Perak) dan Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (Negeri Sembilan).
Ia diikuti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj (Selangor), Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (Perlis), Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Terengganu), Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Kedah) dan Sultan Muhammad V (Kelantan).
Rusli bekerja di Istana Negara bermula 15 Januari 1981 ketika berusia 20 tahun sebagai pelayan pejabat khas Yang di-Pertuan Agong sebelum bergelar bentara istana tidak lama kemudian.
Tugas sebagai bentara istana menuntutnya memastikan tetamu kenamaan mematuhi protokol pakaian ketika menghadiri acara di istana.
"Misalnya kalau diadakan istiadat pengurniaan bintang dan pingat, saya akan minta bentara istana keluarkan alat-alat kebesaran seperti payung, tombak dan selendang.
"Saya juga akan menyusun atur kedudukan setiap bentara istana contohnya jika acara di Balairong Seri, bentara istana akan ditempatkan di anjung utama lobi hinggalah ke Balairong Seri," katanya.
Selain istiadat pengurniaan pingat dan bintang, acara yang lazim diadakan di istana adalah majlis duta luar mengadap, pelantikan hakim, majlis mengadap duta Malaysia ke luar negara, majlis mengadap harian melibatkan menteri, persembahan dikir dan sebagainya.
Ketika ini Istana Negara memiliki seramai 16 bentara terdiri daripada 10 bentara lelaki dan enam bentara perempuan dengan dua daripada bentara lelaki ditugaskan di Istana Melawati.
Ditanya mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berkhidmat, Rusli mengakui detik perpisahan dengan setiap Yang di-Pertuan Agong menjadi saat yang paling meruntun hatinya dan sukar untuk dilupakan.
"Berpisah dengan Yang di-Pertuan Agong yang setiap lima tahun sekali amat menyedihkan sebab saya anggap setiap Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong adalah seperti ayahanda dan bonda saya sendiri.
"Semua Yang di-Pertuan Agong juga melayan kami petugas istana seperti keluarga sendiri jadi detik-detik perpisahan adalah saat paling pilu dan merobek hati saya," katanya.
Luah Rusli, rasa pilu yang sama sekali lagi terpaksa dilaluinya kali ini apabila mengakhiri perkhidmatan dalam keadaan Al-Sultan Abdullah masih belum tamat penggal pemerintahan.
"Namun apakan daya, sudah tertulis saya perlu bersara wajib dan perlu meninggalkan tugas yang sudah jadi darah daging ini.
"Besar harapan agar pengganti saya kelak dapat terus melaksanakan tugas dengan cemerlang," katanya.
Menurutnya, sepanjang menghambakan diri di istana, beliau bersyukur kerana isteri, Siti Rokiah Ali, 54, dan anak-anaknya, Muhammad Firdaus, 31; Muhammad Ammar, 29, dan Puteri Nur Zahirah, 13, sangat memahami tugasnya.
Katanya, beliau sekeluarga akan berpindah ke Muar, Johor untuk menjaga ibu mertua, Azizah Kidam, 84, yang sakit tua.
Klik di sini untuk terus membaca