RUSIA dituduh cuba menimbulkan ketegangan di sempadan Ukraine sejak beberapa hari lalu ekoran tindakan Moscow yang meningkatkan jumlah askar-askarnya di sempadan negara jirannya itu. Sebelum ini kedua-dua negara saling menuding jari antara... Klik di sini untuk terus membaca

RUSIA dituduh cuba menimbulkan ketegangan di sempadan Ukraine sejak beberapa hari lalu ekoran tindakan Moscow yang meningkatkan jumlah askar-askarnya di sempadan negara jirannya itu.

Sebelum ini kedua-dua negara saling menuding jari antara satu sama lain berikutan peningkatan keganasan antara tentera Ukraine dengan kumpulan pemisah negara itu yang pro-Rusia.

Kiev mendakwa kumpulan pemisah itu telah mencabuli satu gencatan senjata yang dipersetujui Moscow pada Julai tahun lalu selain menuduh negara jirannya itu membina kekuatan ketenteraan di sempadan antara kedua-dua negara.

Rusia bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Namun, kira-kira 4,000 askar Rusia dilaporkan sudah ditempatkan di sempadan negara itu dengan Ukraine sekali gus menyebabkan Pusat Pemerintah Tentera Amerika Syarikat (AS) di Eropah meningkatkan pengawasannya dalam krisis melibatkan kedua-dua buah negara tersebut.

Sebelum ini, seramai 14,000 orang telah terkorban dan 1.5 juta orang lagi hilang tempat tinggal sejak pertempuran berlaku antara kedua-dua negara pada tahun 2014 sebelum ia berakhir menerusi perjanjian Minsk yang ditandatangani di ibu negara Belarus setahun kemudian.

Bagaimanapun, konflik antara kedua-dua buah negara berlaku lagi ekoran ketidaksetujuan dalam pelaksanaan perjanjian itu.

Rusia juga sebelum ini berjaya melakukan pemilikan paksa ke atas Crimea pada tahun 2014 yang pada asalnya diiktiraf sebagai sebahagian daripada Ukraine.

Tentera Moscow dilaporkan menguasai Crimea selepas penduduk di republik tersebut mengundi dalam satu pungutan suara untuk menyertai Persekutuan Rusia.

Anggota-anggota tentera Ukraine menghadapi tentangan daripada kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah Donetsk, wilayah timur Ukraine. - Foto AFP

Tidak lama kemudian, kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah Donetsk dan Luhansk, timur Ukraine mengadakan pungutan suara untuk mengisytiharkan kemerdekaan dari Ukraine.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh kerajaan Ukraine dan menuduh Rusia mahu menjadikan Ukraine sebagai negara yang tidak stabil.

Sejak Moscow berjaya menguasai Crimea itu pada tahun 2014, berlaku pertempuran-pertempuran antara tentera Ukraine dengan kumpulan pemisah yang pro-Rusia di Donbass iaitu wilayah di timur Ukraine.

Pada minggu lalu juga, Ukraine mendakwa empat daripada askarnya terbunuh akibat kejadian pengeboman oleh kumpulan pemisah yang pro-Rusia di Donbass, manakala Ketua Tentera Ukraine, Ruslan Khomchak berkata, Moscow sedang menghimpunkan tenteranya dekat sempadan negaranya itu.

Kumpulan pemisah itu yang menguasai sejumlah kawasan di wilayah Donetsk, timur Ukraine sejak tahun 2014 telah menyerang kedudukan tentera Ukraine dengan tembakan mortar, pelancar grenad dan mesingan.

Pada tahun 2020, sejumlah 50 askar Ukraine terbunuh berbanding 100 orang pada tahun sebelumnya.

Jabatan Negara AS turut mengeluarkan kenyataan pada Rabu lalu dengan menyatakan bahawa Setiausaha Negara AS, Antony Bliken turut mengulangi sokongannya kepada Kiev bagi menghadapi tindakan agresif Moscow itu selain mengutuskan ucapan takziah berikutan kematian empat orang askar Ukraine.

Rusia pula mendakwa ia bimbang Ukraine akan melakukan tindakan yang boleh menimbulkan provokatif yang boleh menyebabkan tercetusnya satu peperangan, kata jurucakap Moscow, Dmitry Peskov baru-baru ini.

Media-media sosial juga menyiarkan rakaman video yang menunjukkan sejumlah kereta kebal, kenderaan tentera berperisai dan lain-lain peralatan ketenteraan milik Rusia dihantar ke kawasan sempadan dengan Ukraine dan sedang menuju ke Crimea.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dilaporkan berkata, peningkatan ketegangan di wilayah timur negara itu menunjukkan Rusia cuba mewujudkan satu suasana ancaman ketika Kiev berharap satu gencatan senjata yang dipersetujui pada tahun lalu disambung semula.

Namun, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov membuat kenyataan keras pada Khamis lalu dengan menyatakan sebarang percubaan untuk memulakan konflik ketenteraan di Ukraine akan menyebabkan negara itu sendiri mengalami kemusnahan.

Sebelum ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin turut menyalahkan Ukraine berikutan ketegangan yang berlaku selain mengesyorkan Kiev mengadakan dialog secara langsung dengan kumpulan pemisah bagi menamatkan krisis antara kedua-dua pihak itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca