JOHOR BAHRU - Pas seharusnya tidak meroyan dan menyalahkan UMNO atas keputusan parti itu untuk bertanding sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana tindakan tersebut dibuat atas kepentingan maruah serta perjuangan UMNO. Timbalan... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Pas seharusnya tidak meroyan dan menyalahkan UMNO atas keputusan parti itu untuk bertanding sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana tindakan tersebut dibuat atas kepentingan maruah serta perjuangan UMNO.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menuding jari terhadap UMNO atas kegagalan memperkukuhkan Muafakat Nasional sebagai tidak wajar.

Tegas beliau, ia kerana tindakan Pas selama ini banyak merosakkan kerjasama berkenaan.

Dakwa Nur Jazlan, rentak Pas di awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan mereka tidak terlalu ghairah untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana masih sayangkan Muafakat Nasional, namun selepas mendapat pelbagai jawatan dan kuasa, parti itu mula keliru untuk membuat pilihan.

"Kalau kita tengok cara Pas di awal penubuhan kerajaan PN pun, kita nampak mereka tidak gembira sangat menyokong Bersatu dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pas seronok sebab boleh tumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sahaja dan seteru utama mereka, Amanah turut tersungkur.

"Pas masih sayangkan Muafakat Nasional ketika itu, namun lama kelamaan selepas wakil mereka diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri, mereka terus jadi seronok.

"Keyakinan Pas terhadap kerjasama UMNO dalam Muafakat Nasional mula goyah. Mereka beretorik memperjuangkan perpaduan ummah bersama Bersatu dan memujuk UMNO menyertai PN,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, selama tempoh itu Pas bermain tarik tali dan tidak pernah membuat keputusan sama ada mahu bersama Muafakat Nasional selepas UMNO menolak menyertai PN.

Katanya, situasi itu berbeza dengan UMNO yang berpendirian tegas untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu atas sebab parti itu mengkhianati UMNO, bernafsu besar dan tidak menghormati sokongan parti yang membantu menubuhkan kerajaan baharu.

"Jika benar UMNO mengejar kuasa dan jawatan dalam kerajaan, kita boleh sahaja bersetuju untuk bersama PN atau menerima tawaran jawatan timbalan perdana menteri.

"Tetapi tidak, UMNO sebuah parti yang berpegang kepada prinsip dan maruah perjuangan.

"Tetapi Pas pula sanggup mengetepikan perjuangan, maruah parti dan ikatan kerjasama dalam Muafakat Nasional demi mengejar pangkat serta jawatan dalam kerajaan. Pendirian mereka tak pernah jelas,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca