PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah diangkat sebagai misi nasional terpenting kerajaan Malaysia kini dilaksanakan dengan cukup jayanya. Pelaksanaan program imunisasi kebangsaan itu mustahak demi memulihkan sektor ekonomi negara... Klik di sini untuk terus membaca
PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah diangkat sebagai misi nasional terpenting kerajaan Malaysia kini dilaksanakan dengan cukup jayanya.

Pelaksanaan program imunisasi kebangsaan itu mustahak demi memulihkan sektor ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat serta mencegah penularan wabak Covid-19.

Program berkenaan dilaporkan sedang berjalan lancar dan bakal menyaksikan fasa pertama akan selesai pada April ini sejak dilancarkan hujung Februari lalu.

Menurut kolum lidah pengarang akhbar harian, Makkal Osai, sehingga hari ini seramai lebih 580,000 individu telah menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Daripada jumlah tersebut, dikatakan kira-kira 100,000 individu sahaja telah mendapat suntikan vaksin dos seterusnya.

Makkal Osai mendakwa keputusan untuk membenarkan figura politik tempatan turut menerima suntikan vaksin secara tiba-tiba agak melambatkan lagi kelancaran implementasi fasa pertama.

Oleh sebab tempoh masa suntikan vaksin antara yang pertama dan kedua adalah dinasihatkan selama tiga minggu. Jadi, kesemua individu yang telah menerima suntikan vaksin pertama perlu mendapatkan dos kedua sebelum 21 April ini.

Justeru, pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memikul tanggungjawab amat besar bagi memastikan proses pelaksanaan program imunisasi kebangsaan fasa pertama dilengkapkan seperti yang telah dirancang.

Akhbar harian berkenaan mengesyorkan untuk mempercepatkan program imunisasi kebangsaan fasa kedua, pihak kerajaan harus mempelawa dan membenarkan hospital-hospital swasta turut serta dalam program tersebut.

Pihak kerajaan juga usah melambatkan lagi penyertaan hospital-hospital swasta dalam program imunisasi kebangsaan sekiranya matlamat murni untuk memberi sunti-kan vaksin kepada rakyat Malaysia direalisasikan dengan selamat.

Fasa kedua program imunisasi kebangsaan yang akan dijalankan hujung April ini mengutamakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik.

Sehingga kini, seramai 7,235,436 individu telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

Lima negeri tertinggi untuk pemberian vaksin Covid-19 ialah Selangor yang mendahului dengan 75,317 dos, diikuti Perak sebanyak 59,305 dos, Sarawak sebanyak 57,034 dos, manakala Sabah (52,223) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (50,512).

Dalam pada itu, pendaftaran untuk fasa kedua dikatakan agak perlahan berbanding fasa pertama.

Pihak KKM diminta untuk memperkenalkan langkah-langkah yang efektif agar golongan disasarkan dapat mendaftar bagi mendapatkan vaksin percuma.

Sungguhpun aplikasi MySejahtera ada untuk mempermudahkan urusan pendaftaran, namun golongan bersasar fasa kedua melibatkan warga emas, jadi pihak KKM boleh melakukan proses pendaftaran dengan berkunjung ke kediaman kumpulan berkenaan.

Dengan itu, pelaksanaan fasa kedua dapat dijalankan dengan pantas bagi memberi laluan kepada fasa ketiga melibatkan golongan belia.

Rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mendapatkan vaksin percuma ini diminta membuat pendaftaran di platform yang disediakan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca