DALAM perubahan suasana dunia global ketika menghadapi pandemik Covid-19 ini, nampaknya terlalu banyak isu global yang seharusnya dibicarakan dari sudut falsafah yang holistik tentang alam maya ini.
Pembangunan alam sekitar dan perubahannya melibatkan proses yang kompleks iaitu membawa kepada kajian saintifik.
Isu alam sekitar seperti pencemaran udara, air dan lain-lain tidak mudah dibicarakan secara simplistik kerana isu ini bukanlah mudah dibicarakan sebagai isu retorika atau takdir secara melulu tanpa mempunyai penilaian dan analisis undang-undang alam sendiri.
Kerajaan haruslah mewujudkan kombinasi kajian dari sudut pandangan saintifik dan agama bagi tajuk yang dibicarakan dalam pembangunan ilmu semasa iaitu yang menyentuh dimensi agama dan akal secara bersepadu.
Sandaran kita kepada ayat-ayat ALLAH SWT tentang alam sekitar dapat dilihat umpamanya di dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33 yang bermaksud: "ALLAHlah yang menjadikan langit dan bumi dan menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan itu Ia keluarkan buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu dan Ia mudahkan bagi kamu kapal bagi kamu supaya ia berjalan di lautan dengan perintah-Nya dan Ia mudahkan bagi kamu sungai-sungai. Dan Ia mudahkan bagi kamu matahari dan bulan yang tetap berjalan dan Ia mudahkan bagi kamu malam dan siang.”
Dari sini ternyata bahawa isu pemeliharaan alam sekitar bukanlah merupakan isu mudah kerana isu ini ditunjangi oleh agama sebagai satu tanggungjawab agama bersumberkan perintah ALLAH SWT.
Mungkin jika diambil satu sudut penjagaan alam sekitar yang biasa sahaja seperti menjaga kebersihan persekitaran umpamanya, maka dalam hal ini penanaman sikap kepekaan terhadap kebersihan amatlah penting dimulai dari rumah kerana visi pemeliharaan alam sekitar haruslah ditanamkan dalam jiwa generasi yang baru mengenali alam ini dengan sebaik-baiknya agar ia sebati dengan perasaan dan pemikiran mereka.
Persoalan-persoalan mudah seperti berapa banyakkah rumah tangga dalam masyarakat kita yang menyediakan bakul sampah dalam dan luar rumah merupakan persoalan asasi bagi mendidik generasi baharu di bandar atau di luar bandar.
Di luar bandar umpamanya adakah penduduknya berusaha menanam sampah sarap daripada amalan biasa yang mudah selama ini iaitu dengan membakarnya sahaja? Malah kita mengetahui bahawa membakar sampah adalah merupakan satu perbuatan pencemaran udara yang serius.
Menyentuh persoalan kebersihan ini juga kita mungkin dapat bertanya lagi berapa ramai isi keluarga melatih anak-anak mereka menjaga kebersihan bilik air dan tandas di rumah masing-masing?
Malah persoalan ini boleh berlarutan kepada persoalan kepekaan anak-anak itu kepada kebersihan rumah tangga dan persekitarannya, apakah hal ini menjadi satu perkara penting dalam kehidupan mereka?
Anak-anak yang tidak dididik beginilah yang akan keluar ke tengah-tengah bandar raya dan sebagainya dan mereka akan membawa sikap sama iaitu tidak peka kepada kebersihan lalu akan bertindak membuang sampah di sana sini secara sewenang-wenangnya.
Mereka juga mungkin tidak peka soal kebersihan tandas awam dan tidak kisah dengan peraturan menggunakan tandas, maka dengan itu tandas awam terus dikotori, dirosakkan dan dibiarkan dalam keadaan memalukan.
Kita mungkin tidak harus bergantung kepada undang-undang seperti denda kerana undang-undang itu kelihatan amat sukar dilaksanakan.
Semua pihak seharusnya peka dan mengambil tindakan sendiri dalam menangani perkara ini sebelum membicarakan isu kerosakan tali air dan sungai yang membekalkan air bersih untuk seluruh masyarakat, kekotoran alam sekitar yang disebabkan oleh kealpaan sistem pembuangan air yang begitu sahaja oleh pihak yang mencari keuntungan perusahaan dan industri tanpa mempedulikan kebajikan orang awam.
Pembangunan alam sekitar dan perubahannya melibatkan proses yang amat kompleks iaitu yang membawa kepada kajian saintifik.
* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca