SETIAP tahun kemalangan melibatkan bas ekspres berlaku dan terbaharu sebuah bas ekspres terbabas pada awal pagi Ahad di KM265 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora. Mujur kemalangan kali ini tidak melibatkan... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP tahun kemalangan melibatkan bas ekspres berlaku dan terbaharu sebuah bas ekspres terbabas pada awal pagi Ahad di KM265 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora.

Mujur kemalangan kali ini tidak melibatkan nyawa, namun dua penumpang daripada 14 penumpang cedera parah di pinggang dan kepala.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah, hasil siasatan awal, pemandu bas ekspres berusia 37 tahun itu disyaki terlelap semasa memandu hingga menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas.

Selain itu, polis memaklumkan bahawa semakan lanjut mendapati pemandu yang cedera ringan di kaki mempunyai 19 saman berkaitan kesalahan trafik sebelum ini selain tiga rekod saman lampau bagi bas yang dipandunya.

Umum mengetahui pemandu bas ekspres merupakan antara pekerjaan memenatkan kerana melakukan pemanduan dalam jarak jauh setiap hari, tetapi tiada pemandu kedua dalam bas itu?

Kerap kali kita membaca laporan daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengatakan bahawa antara kesalahan dilakukan ialah ketiadaan pemandu kedua dalam setiap perjalanan jarak jauh.

Pada Januari tahun ini, JPJ Kuala Lumpur melalui Ops TBC 2020 menjelaskan bahawa pemanduan secara laju dan melulu, menghisap rokok, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta bercakap di telefon bimbit tanpa alat bantuan pendengaran antara kesalahan yang biasa dikesan dilakukan oleh pemandu bas ekspres.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, lebih 100 buah bas dinaiki anggota yang menyamar membabitkan lebih 10 destinasi di seluruh negara di mana antara fokus kesalahan lain oleh pemandu yang diperhatikan ialah memotong di garisan berkembar serta tiada pemandu kedua.

Sekiranya ada pemandu kedua, mengapa pemandu pertama boleh terlelap yang mungkin berpunca daripada kepenatan.

Risiko kemalangan boleh berlaku di jalan raya tetapi sebagai pemandu bas yang membawa ramai penumpang, mereka mempunyai tanggungjawab besar bagi memelihara nyawa semua orang di dalam bas dengan memastikan selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Dalam situasi ini, sebarang alasan sama penat atau mengantuk tidak boleh diterima kerana apabila seseorang itu menjadi pemandu bas, secara tidak langsung dia bersetuju untuk memandu secara berhemah dan menjaga keselamatan penumpang.

Jika disoroti semula kejadian kemalangan melibatkan bas ekspres ini, ia digambarkan sebagai tragedi yang memberi kesan besar kepada penumpang dan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang.

Pada 3 Jun 2018, tiga maut dan 25 cedera selepas sebuah bas ekspres terbabit dalam kemalangan dengan lori kontena dan lori tangki di KM 142.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Pagoh, Johor.

Selain itu pada 2 September 2018, dua maut, 12 cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Batu Gajah Perdana.

Menurut Kajian Pengurusan Keselamatan Jalan Raya yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bertajuk Tahap Keselamatan Bas Ekspres Dari Perspektif Penumpang di mana seramai 736 individu telah ditemu ramah.

Berdasarkan tinjauan tersebut, penumpang meletakkan soal keselamatan sebagai kriteria utama dalam memilih perkhidmatan bas yang dinaiki.

Jelas sekali penumpang lebih mengutamakan aspek keselamatan terlebih dahulu berbanding perkara-perkara lain sewaktu menggunakan perkhidmatan tersebut.

Justeru, pengusaha bas ekspres perlu memastikan pemandu mereka berada dalam keadaan sihat dan bersedia untuk memulakan perjalanan jauh selain keadaan bas sentiasa diselenggara secara berkala.

* Mohd Hafiz Ismail ialah wartawan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca