PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail diminta supaya berhenti menyerang Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dengan pelbagai kenyataan yang tidak tepat berhubung arahan penggantungan terhadap pengurus... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail diminta supaya berhenti menyerang Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dengan pelbagai kenyataan yang tidak tepat berhubung arahan penggantungan terhadap pengurus skuad sepak takraw wanita kebangsaan, Wan Mohd Husni Abdullah.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Ahmad sebagai presiden tidak sepatutnya terus mengelirukan fakta-fakta sebenar kerana dikhuatiri perkara itu boleh ‘memakan’ dirinya pada masa depan.

"Mungkin Presiden PSM tidak menyedari bahawa Wan Mohd Husni telah pun mengaku salah berhubung tindak-tanduk beliau yang melanggar undang-undang itu melalui surat yang telah dihantar kepada ASTAF.

"Dalam kata lain, Wan Mohd Husni telah pun menjawab dan mengaku atas kesalahan beliau dan menyerahkan kepada ASTAF untuk sebarang tindakan, mungkin Presiden PSM sudah terlupa berhubung perkara ini.

"Cumanya ASTAF belum lagi memutuskan sama ada tempoh penggantungan ke atas beliau akan dilepas, dikurang atau ditambah, namun yang pastinya penggantungan lima tahun telah pun dikenakan dan sewajarnyalah semua jawatan Wan Mohd Husni dilucutkan serta-merta berdasarkan Perlembagaan PSM Fasal 40 dan 41,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Minggu lalu, ASTAF menghantar surat kepada PSM berhubung penggantungan berkenaan serta mengarahkan badan induk sepak takraw negara tersebut mengeluarkan surat rasmi berhubung perlucutan kesemua jawatan disandang Wan Mohd Husni dan satu salinan surat rasmi berkenaan perlu diserahkan kepada ASTAF dengan segera.

Bagaimanapun, timbul beberapa persoalan berhubung surat daripada ASTAF yang bertarikh 1 April tetapi diterima PSM pada 30 Mac, selain PSM mempersoalkan penggantungan apabila tempoh rayuan yang masih belum sampai waktunya termasuk penggunaan bahasa Melayu pada surat berkenaan berbanding bahasa Inggeris seperti sebelum ini.

Mengulas perkara itu, Abdul Halim berkata, PSM tidak sewajarnya menimbulkan persoalan sedemikian kerana ia merupakan isu remeh-temeh apabila melibatkan isu tarikh serta penggunaan bahasa.

"Isu tarikh surat sama ada 30 Mac 2021 atau 1 April 2021 adalah isu yang terus dimainkan walaupun amat mudah difahami bahawa apa pun tarikh yang tertulis pada surat ada kaitan dengan jarak atau tempoh ianya akan sampai kepada penerima.

"Selain itu apakah salah ASTAF menggunakan bahasa Melayu pada surat berkenaan kerana walaupun bahasa rasmi yang digunakan ASTAF adalah bahasa Inggeris tetapi penggunaan bahasa lain mengikut kemampuan ASTAF juga tidak menjadi satu kesalahan asalkan isi kandungan dan mesej surat jelas dapat difahami sesebuah negara.

"ASTAF juga pernah menggunakan bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Thai dalam urusan surat-menyurat,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim menegaskan PSM perlu mengambil tindakan segera sebagaimana digariskan badan induk tersebut tanpa perlu berdolak-dalik dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

Katanya, keengganan PSM mematuhi arahan dikeluarkan boleh menyebabkan PSM dikenakan tindakan tatatertib.

"Ingin ditegaskan bahawa kes Wan Mohd Husni bukanlah satu kes rekaan tetapi ianya adalah kes perlanggaran tatatertib yang amat serius.

"Ini bersandarkan kepada realiti kejadian berserta pengukuhan bukti jelas dan fakta yang tepat samada melalui laporan bertulis atau media elektronik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca