PADA 3 April lalu, seramai 30 penduduk di Kampung Subong, Gua Musang, Kelantan hidup dalam kebimbangan selepas seekor gajah jantan dipercayai mengamuk dan memusnahkan 300 pokok pisang serta memijak hingga mati dua ekor lembu.
Pada tahun 2019, rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mendapati terdapat sekurang-kurangnya 180 ekor gajah membabitkan beberapa kumpulan keluar daripada habitat asal untuk mencari makan disebabkan aktiviti penerokaan hutan tidak terkawal di hampir setiap daerah di negeri tersebut.
Kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku, sekali gus menjadi ancaman kepada penduduk. Persoalannya, mengapa kejadian seperti ini berulang?
Konflik manusia dan gajah bukan perkara baharu. Konflik ini berterusan disebabkan perbuatan manusia sendiri yang terlalu ghairah meneroka hutan.
Konflik manusia-gajah termasuklah gangguan tanaman dan masuk ke kawasan penempatan. Konflik ini telah bermula sejak 1950-an selepas penjajah Inggeris aktif membuka tanah untuk kegiatan pertanian terutama di Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.
Kesan pembukaan ladang untuk pertanian menyebabkan habitat gajah terganggu kerana sebahagian kawasan tempat tinggal gajah yang dilitupi hutan dijadikan lokasi penanaman.
Pembangunan berleluasa dengan ‘merampas’ habitat gajah menjadi ancaman terbesar kepupusan haiwan tersebut.
Perubahan ini menyebabkan populasi gajah kehilangan tempat tinggal sehingga kawasan haiwan itu mencari makanan menjadi terhad, manakala laluannya dihalang sekali gus memberi kesan terhadap gajah yang semakin ketandusan kawasan rayau sehingga terpaksa menceroboh kawasan ladang serta kebun penduduk.
Pengecilan kawasan rayau mengganggu habitat dan menjejaskan sumber makanan haiwan ini kerana seekor gajah memerlukan lebih 20 kilogram maka-nan setiap hari, manakala sekumpulan gajah memerlukan kawasan rayau kira-kira 100 kilometer persegi.
Lazimnya, gajah bertindak agresif apabila rasa terancam disebabkan gangguan manusia. Kejadian gajah mengamuk mungkin dapat dielak jika perancangan dibuat dengan teliti semasa menjalankan sesuatu projek pembangunan.
Aktiviti penerokaan hutan untuk perladangan, pembalakan dan perlombongan masih boleh dilakukan, namun perlulah dikawal serta dirancang, selain tidak dilakukan secara meluas hingga memaksa gajah dan haiwan lain berhijrah. Perhilitan boleh dirujuk sebelum pembukaan hutan dilakukan.
Konflik yang timbul menjadi masalah dan menyebabkan gajah perlu dipindahkan ke habitat baharu. Namun, bukan mudah untuk menangkap gajah liar yang menceroboh kerana perbelanjaan operasi termasuk memindahkan haiwan ini menelan kos tinggi sehingga boleh mencecah RM55,000 bagi seekor gajah.
Gajah dikategorikan hidupan liar terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi. Seluruh dunia memberi perhatian terhadap Gajah Asia yang terdapat di Malaysia dan kini terancam.
Komitmen negara terhadap pengukuhan perlindungan spesies ini dizahirkan dengan menaik taraf tahap status gajah sebagai spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Malah, Pelan Induk Pemuliharaan Gajah Asia Semenanjung Malaysia diwujudkan sejak 1990 dan dikemas kini pada 2006 sebagai Pelan Pengurusan Gajah Semenanjung Malaysia.
Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP) untuk 10 tahun (2013-2022) pula menyediakan strategi pemuliharaan yang fokus kepada tindakan khusus.
Tidak ketinggalan, Hari Gajah Sedunia yang disambut pada 12 Ogos merupakan acara tahunan yang diraikan bertujuan melindungi dan memulihara haiwan tersebut.
Kesan pembukaan ladang untuk pertanian menyebabkan habitat gajah terganggu.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca