ISU bekalan air mentah yang menjadi pertikaian antara Kedah dan Pulau Pinang bukan isu baharu. Bukan setelah Muhammad Sanusi Md Nor diangkat sebagai Menteri Besar Kedah dan isu itu hangat dibahaskan antara beliau dan Ketua Menteri Pulau... Klik di sini untuk terus membaca

ISU bekalan air mentah yang menjadi pertikaian antara Kedah dan Pulau Pinang bukan isu baharu. Bukan setelah Muhammad Sanusi Md Nor diangkat sebagai Menteri Besar Kedah dan isu itu hangat dibahaskan antara beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sebelum itu lagi, ketika Kedah di bawah pentadbiran Pas (2008-2013), Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sudah beberapa kali membangkitkan isu sama.

Allahyarham Azizan ketika itu 'berperang’ dengan Lim Guan Eng.

Situasinya sama sahaja, berbalas hujah tetapi tiada tindakan susulan antara kedua-dua pihak.

Kalau ada pun seolah-olah tidak bersungguh-sungguh seperti sekarang. Apakah hanya Pas yang mahu isu ini diselesaikan untuk kepentingan rakyat, sedangkan Kedah sebelum ini turut ditadbir oleh UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Mungkin ketegasan atau orang Kedah kata ‘ketegaq’ yang ada pada Muhammad Sanusi menampakkan usaha itu agak serius berbanding menteri besar terdahulu.

Muhammad Sanusi sebelum ini pernah menyatakan, sebaik beliau mengambil alih Kedah pada 17 Mei 2020, antara hasrat yang mahu dilaksanakan adalah meneruskan corak pemerintahan Azizan dalam pentadbirannya.

Kata Muhammad Sanusi yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Azizan, pesanan Allahyarham masih terngiang-ngiang dalam ingatannya dan bakal menjadi pegangan dalam mencorakkan hala tuju negeri Kedah.

Tidak hairanlah kedua-duanya memiliki iltizam, pemikiran dan ‘lawak bersahaja’ yang senada dalam mengurus Kedah agar tidak tersasar daripada landasan.

Pendapatan

Dalam isu bekalan air mentah, Azizan membentangkannya dalam Belanjawan Kedah 2013 bahawa pendapatan kerajaan negeri akan meningkat apabila kerajaan Pulau Pinang mula membayar caj bekalan air mentah yang mengalir dari sungai di Kedah.

Azizan ketika itu dipetik berkata: "Semasa kerajaan negeri Barisan Nasional mentadbir dahulu tidak perlu bayar caj air dari Kedah. Ia menunjukkan kerajaan pimpinan Pas Kedah dan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak berpakat.”

Kerajaan Pas Kedah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah mengambil tindakan mengenakan caj air mentah sebanyak RM20 juta setahun kepada Pulau Pinang.

Antara alasan diberikan adalah untuk menampung kos penyelenggaraan sungai dan kawasan tadahan hujan di kawasan empangan Pedu yang membekalkan air ke Sungai Muda.

Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila PRU13 menyaksikan pertukaran kerajaan dan seterusnya UMNO kembali mentadbir di bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Ketika itu Mukhriz telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-Undang Negeri mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat mereka dari Pulau Pinang.

Namun seperti biasa, isu itu hanya menjadi perbalahan dan hangat seketika sebelum reda dan akhirnya lenyap begitu sahaja.

Selepas Pas kembali mentadbir Kedah, Muhammad Sanusi dilihat mahu meneruskan legasi Azizan yang masih belum dimuktamadkan.

Masih ada perhitungan yang belum selesai sehingga kini. Sudah tiba masanya kedua-dua pihak mengadakan pertemuan empat mata antara Muhammad Sanusi dan Kon Yeow setelah perundingan peringkat bawahan menemui jalan buntu.

Tidak perlu ugutan manja atau ‘lawak separuh masak’ seperti ‘jumpa di mahkamah’ atau ‘Pulau Pinang mungkin guna air selut’ atau ‘sekat aliran sungai’ atau ‘Pulau Pinang tidak akan bayar satu sen pun’ kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan.

Kedua-duanya perlu bersikap profesional dalam menangani isu yang besar. Banyak fakta dan perundangan termasuk konsep hak riparian yang diguna pakai di peringkat antarabangsa boleh dijadikan rujukan, namun perlulah ada timbang rasa untuk disesuaikan dengan situasi di sini.

Kedua-dua negeri mempunyai hak atas anugerah ALLAH SWT itu. Bukankah lebih baik kita berpakat untuk kebaikan semua, berbanding menyakat dan bersengketa. Tepuk dada tanyalah selera.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara

Klik di sini untuk terus membaca