PONTIAN - Pembinaan benteng penahan ombak lebih enam tahun lalu memberi nafas baharu kepada penduduk Kampung Permata yang sebelum ini dibelenggu kebimbangan diancam hakisan pantai.
Wakil penduduk kampung, Mukthar Danuri, 63, berkata, hakisan pantai yang berlaku sebelum ini menyebabkan tanah milik penduduk semakin mengecil malah terdapat rumah yang kedudukannya terlalu dekat dengan laut.
Katanya, Kampung Permata yang didiami kira-kira 400 penduduk mula dibuka sejak tahun 1982. Ia merupakan antara perkampungan awal masyarakat Melayu berdekatan bandar Pontian.
"Kampung Permata paling dekat dengan laut. Kampung kami menjadi benteng kepada beberapa taman perumahan seperti Taman Zarina, Lorong Aman dan Lorong Syukor."Dahulu Kampung Permata cukup hijau dengan pokok bakau.
"Jika 10 tahun lalu, jarak di antara rumah penduduk dengan laut kira-kira 200 meter dengan dipenuhi pokok bakau di belakang rumah tetapi kini benteng penahan ombak menjadi penyelamat kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.Menurut Mukhtar, hakisan pantai semakin serius sejak kira-kira 20 tahun lalu. Ia diburukkan lagi dengan angin kencang yang menyebabkan ombak besar melanda pantai.
Katanya, ombak besar yang melanda pantai mengakibatkan kawasan pantai yang sebelum ini luas menjadi semakin sempit apatah lagi fenomena air pasang besar yang berlaku pada setiap penghujung tahun.
"Alhamdulillah, kerisauan penduduk terhadap hakisan pantai di sini dipandang serius oleh pentadbiran daerah dan negeri.
"Selain itu, pemimpin setempat juga prihatin apabila membawa isu ini ke peringkat tertinggi bagi mendapatkan peruntukan projek.
"Kira-kira enam tahun lalu, projek pembinaan benteng penahan ombak sepanjang satu meter dilaksanakan di kampung kami.
"Sebelum itu sudah pun ada benteng tetapi dibina daripada guni pasir,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, kerisauan penduduk terhadap hakisan pantai tetap wujud memandangkan paras air laut lebih tinggi sejak dua tahun lalu.
"Kenaikan paras air laut dapat dilihat ketika air pasang besar pada hujung tahun antara bulan Oktober hingga Disember.
"Air laut melimpah ke darat sehinggakan kawasan rumah penduduk dinaiki air.
"Setakat ini, air laut yang melimpah tidak mengakibatkan kejadian banjir yang teruk, cuma di kawasan dapur dan keliling rumah yang dinaiki air, itu pun tidak tinggi.
"Bagaimanapun kebimbangan tetap ada memandangkan cuaca sekarang tidak menentu. Bila hujan, angin memang bertiup kencang di sini,” cerita beliau.
Justeru, beliau berharap agar benteng penahan ombak di Kampung Permata ditambahbaik dengan melebar luas benteng berkenaan untuk berdepan ancaman ombak besar pada masa akan datang.
Klik di sini untuk terus membaca