KUALA LANGAT - Pengunjung Pantai Morib di sini meluahkan kebimbangan terhadap benteng penahan ombak yang runtuh dan tidak diperbaiki sejak September tahun lalu. Tinjauan Sinar Harian mendapati bahagian benteng yang pecah itu terbiar begitu... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LANGAT - Pengunjung Pantai Morib di sini meluahkan kebimbangan terhadap benteng penahan ombak yang runtuh dan tidak diperbaiki sejak September tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati bahagian benteng yang pecah itu terbiar begitu sahaja dan keadaan itu berbahaya kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak.

Orang ramai turut didapati masih lalu lalang di kawasan runtuhan yang menjadi tumpuan penduduk Kuala Langat dan dari sekitar daerah ini.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Hazmi mendakwa benteng tersebut tidak dibaiki dan terbiar sejak tahun lalu.

Menurutnya, runtuhan dipercayai berpunca daripada hakisan di bahagian bawah tanah akibat fenomena air pasang besar.

"Aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masih tiada tindakan diambil.

"Pihak berwajib perlu ambil tindakan, takut budak-budak jatuh terluka, kena pantau tempat pelancongan seperti Pantai Morib ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Runtuhan benteng didakwa berlaku akibat hakisan di bahagian bawah tanah akibat fenomena air pasang besar.

Seorang lagi pengunjung yang memperkenalkan dirinya sebagai Fuad terkejut melihat benteng yang runtuh pada kali pertama dia berkunjung ke pantai tersebut.

Ujarnya, pihak PBT sepatutnya menutup kawasan itu dengan penghadang supaya tiada pengunjung khususnya kanak-kanak yang jatuh ke bawah.

"Pada saya kawasan ini berbahaya untuk dibiarkan begitu sahaja. Jadi pihak berwajib perlu ambil tindakan.

"Kalau boleh, letakkan kon dan tali keselamatan untuk menutup kawasan ini,” ujarnya.

Sementara itu, pengunjung lain yang mahu dikenali sebagai Sabri berkata, benteng itu kini terancam dan tidak selamat untuk orang ramai.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera sebelum berlaku perkara yang tidak diingini. Jangan sampai sudah terhantuk baru nak terngadah. Jangan sampai ada kes, baru nak ambil tindakan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca