KEJOHANAN Grand Prix (GP) Malaysia menjadi penanda aras buat atlet olahraga negara selepas lebih setahun tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif berikutan pandemik Covid-19.
Ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, kejohanan itu penting sebagai medan pemanas badan buat atlet negara selepas kali terakhir mereka berentap dalam Perak All Comers dan FTAA All Comers pada Februari tahun lalu.
"Apa yang kita lihat dalam GP Malaysia nanti akan menjadi penanda aras sebenar bagaimana kem olahraga bergerak ke hadapan selepas ini dalam mengharungi kejohanan-kejohanan besar.
"Ini peluang yang terbaik untuk semua atlet kembali mempamerkan prestasi sebenar masing-masing kerana selain penanda aras ke Sukan SEA, ia juga penanda aras ke kejohanan besar seperti Sukan Asia dan sebagainya.
"Dari testing result dan fitness, kita ada semua data-data tersebut yang mencerminkan dalam kalangan atlet berada pada tahap kecergasan terbaik untuk kejohanan ini.
"Tapi dari segi teknikal kita tidak tahu kerana ia perlu diterjemahkan dalam trek dan balapan kerana ia satu elemen yang menguji tahap kesiapsediaan mental dan teknikal dalam kalangan atlet,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Kejohanan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 10 dan 11 April tersebut bakal menghimpunkan 130 atlet termasuk 22 atlet podium dan 20 atlet pelapis serta atlet yang mewakili negeri masing-masing.
Dalam masa sama Mohd Manshahar berkata, GP Malaysia itu juga sebagai persediaan atlet kebangsaan bersaing pada Kejohanan Kebangsaan pada Jun depan.
"Barisan atlet negara perlu memanfaatkan GP Malaysia ini sebaik mungkin kerana selepas ini sepanjang Ramadan seperti biasa tiada kejohanan dianjurkan.
"Mengikut jadual, mereka akan kembali berentap pada Kejohanan Kebangsaan yang dijangka berlangsung pada 11, 12 dan 13 Jun depan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca