MASALAH pengangguran adalah isu yang sentiasa diperkatakan saban tahun, apatah lagi melibatkan graduan baru tamat pengajian.
Isu pengangguran sebelum ini sering dikaitkan dengan tiada peluang pekerjaan, graduan baharu terlalu memilih kerja dan ada juga masyarakat mengaitkan graduan terlalu memilih lokasi pekerjaan.
Pelbagai usaha dilakukan bagi mengurangkan kadar pengangguran. Sebagai contoh, baru-baru ini di Terengganu, satu Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 dianjurkan di Pusat Konvensyen Duyong Marina & Resort di sini yang menawarkan lebih 11,000 jawatan kosong melibatkan seramai 85 majikan.
Tinjauan penulis sendiri mendapati karnival selama dua hari yang berlangsung pada 3 dan 4 April itu mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Pada hari pertama sahaja, seawal jam 7 pagi, sekitar tapak karnival berkenaan dibanjiri oleh anak-anak muda.
Penampilan masing-masing kelihatan kemas dan bergaya sambil membawa fail di tangan, resume dan sijil-sijil yang berkaitan.
Suasana di sekitar karnival ibarat seperti pesta. Penulis membuat tinjauan di bawah khemah-khemah yang disediakan di tapak karnival.
Golongan pencari kerja begitu sibuk mengisi pelbagai borang permohonan kerja disediakan majikan-majikan yang menyertai karnival berkenaan.
Jika sebelum ini, penulis tertanya-tanya, betulkah masih ada jawatan kosong sehingga lebih lima angka dalam satu masa pada hari pertama?
Adakah ia sekadar angka yang diuar-uarkan semata-mata hendak menampakkan gahnya karnival yang dianjurkan atau hendak menarik perhatian orang ramai terutama pencari kerja?
Sekiranya betul, memang masih banyak peluang pekerjaan yang disediakan tetapi kenapa masalah pengangguran sering dibincangkan setiap tahun di Malaysia?
Bagaimanapun, selepas mendengar rungutan daripada sahabat-sahabat penulis yang memiliki perusahaan sendiri, mereka mengakui sememangnya sukar untuk mencari pekerja sehingga terpaksa melupakan atau menangguhkan hasrat membuka cawangan baharu kerana tidak ada pekerja, barulah penulis percaya dengan angka tersebut.
Dalam tempoh sebulan yang lalu, dua sahabat penulis meminta pertolongan mencarikan pekerja kerana hendak membuka cawangan baharu.
Pelbagai jawatan kosong dimaklumkan bagi mengisi kekosongan dan gaji ditawarkan sememangnya menepati syarat ditetapkan, malah gaji minimum ditawarkan juga lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
Setiap hari mereka mengiklankan untuk mencari pekerja di laman sosial termasuk Facebook dan WhatsApp, selain meminta pertolongan saudara-mara dan keluarga bagi menghebahkannya tetapi masih tidak mendapat sebarang respons.
Penulis ada cuba membantu. Setiap kali bertugas dan berjumpa dengan individu yang dirasakan berkelayakan, penulis akan memberitahu hasrat dua sahabat penulis itu tetapi maklum balas diterima agak menghampakan seolah-olah tidak berminat dengan hanya memberi jawapan ‘tengoklah dulu’ (walaupun ada yang masih tidak mempunyai pekerjaan ketika itu).
Baru-baru ini, penulis bertanya khabar dua sahabat penulis itu. Adakah usaha mencari pekerja untuk berkhidmat di cawangan baharu telah berjaya, namun jawapan diberikan menghampakan. Kedua-duanya memberitahu penulis bahawa mereka terpaksa tangguh dahulu sebab tidak ada pekerja.
Bukan hasil perkongsian dua sahabat penulis sahaja tetapi majoriti sahabat penulis yang kini bergelar majikan dalam pelbagai sektor termasuk perniagaan, pertanian, profesional dan sebagainya turut merungut sukar mendapatkan pekerja.
Melihat situasi tersebut, ia mengundang persoalan di fikiran penulis.
Sebenarnya adakah masalah pengangguran ini disebabkan tidak mempunyai peluang pekerjaan atau terlalu banyak peluang sehingga sukar pencari kerja membuat keputusan dan akhirnya memilih untuk menganggur?
* Rubiah Omar ialah Wartawan Sinar Harian Terengganu
Klik di sini untuk terus membaca