JOHOR BAHRU - Dikurniakan anak kembar tiga menjadi kenangan terindah buat Nur Aisyah Zulkiffri, 30, dan Muhammad Faiz Ismail, 32, yang menanti selama tujuh tahun.
Nur Aisyah bekerja sebagai juru X-ray di sebuah hospital swasta berkata, kelahiran kembar tiga itu hasil daripada rawatan kesuburan Persenyawaan In-Vitro (IVF) yang diusahakan mereka pada Januari tahun lalu.
Muhammad Aqeff, Orked Nur Adeelia dan Muhammad Aqeed yang kini berusia enam bulan dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada September 2020.
Akui Nur Aisyah, dia dan suami melalui pelbagai dugaan dalam usaha mendapatkan anak termasuk pernah disahkan mengandung pada tahun 2017, namun berdepan masalah dan tidak dapat meneruskan kehamilan.
"Saya mendirikan rumah tangga pada tahun 2014, dua tahun selepas itu kami berjumpa dengan pakar sakit puan.
"Seterusnya kami berjumpa dengan pakar perunding obstetrik, ginekologi dan kesuburan di sebuah hospital swasta. Pada tahun 2019, kami ikuti rawatan Intra Uterine Insemination (IUI), namun gagal,” katanya.
Menurut Nur Aisyah, akhbirnya dia dan suami mengambil keputusan melakukan IVF. Pasangan itu membelanjakan hampir RM25,000 bagi rawatan IVF.
"Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan IVF pada Januari 2020, saya disahkan hamil,” katanya sambil tersenyum.