BARU-BARU ini negara gempar dengan kisah seorang pengamal perubatan yang ditemukan maut disyaki ditembak dalam sebuah rumah di Kuantan, Pahang.
Apabila laporan media menulis perkataan-perkataan seperti 'seorang lelaki’, 'dipercayai’ dan 'kes masih disiasat’, mulalah netizen-netizen gelabah.
Mula rasa tak sabar untuk mengetahui siapa mangsa, kenapa begitu, kenapa begini dan ada juga netizen yang mengeluarkan kata-kata tidak sopan kepada si mati tanpa memikirkan akan ada hati yang terluka akibat komen-komen berbisa itu.
Tetapi tidak sampai beberapa jam berita kematian dilaporkan, terus tular gambar si mati yang ditembak.
Apa yang Merak Jalanan perhatikan, gerakan mencari maklumat 'sampai ke lubang cacing’ memang hebat dan tiada tandingan. Namun, wajarkah kita menyebarkan gambar tersebut? Adakah kita dapat mencari pembunuh berkenaan dengan menyebarkan gambar mangsa? Relakah ahli keluarga si mati dengan tindakan kita?
Merak Jalanan pernah ditanya sekumpulan penuntut universiti utama di Kuala Lumpur dalam sebuah forum mengenai maksud kebebasan bersuara menurut definisi media.
Pada pendapat Merak Jalanan, kebebasan bersuara itu perlu ada, namun mestilah berlandaskan Rukun Negara kerana kita berada di Malaysia. Jika kita berada di Zimbabwe Amerika Syarikat atau mana-mana negara pun, kekebasan bersuara haruslah mengikut lunas undang-undang negara berkenaan. Janganlah kerana terlalu obses dengan terma 'kebebasan bersuara’ kita sampai melampaui batasan dan menjadi pembuli siber.
Ingatlah, setiap apa yang kita tulis, tutur atau lakukan, semuanya dicatat. Kita juga tidak akan tahu bagaimana pengakhiran hidup kita.
Semoga Ramadan bakal tiba nanti dapat kita memperbaiki amalan kehidupan dan amalan. Insya-ALLAH.
Klik di sini untuk terus membaca