SHAH ALAM - Sebilangan besar mangsa sumbang mahram mengalami kesan psikologi yang serius sekiranya dibiarkan tanpa sebarang bantuan. Pakar psikologi, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata, mangsa selalunya akan mengalami tekanan dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebilangan besar mangsa sumbang mahram mengalami kesan psikologi yang serius sekiranya dibiarkan tanpa sebarang bantuan.

Pakar psikologi, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata, mangsa selalunya akan mengalami tekanan dari segi emosi dan sentiasa bimbang serta takut, seterusnya meninggalkan trauma dalam hidup mereka.

Katanya, disebabkan trauma tersebut akan mencetuskan tekanan yang memuncak terhadap mangsa dan akhirnya menyumbang kepada masalah-masalah lain.

"Lazimnya, mangsa sumbang mahram ini akan trauma dengan kejadian yang menimpa mereka. Disebabkan trauma mangsa akan mengalami gejala seperti mimpi buruk yang mengingatkan peristiwa lampau, menjadikan mereka sensitif, masalah tidur dan tidak dapat berfungsi seperti sebelumnya hingga menjejaskan kesihatan mental serta kehidupan seharian.

"Dalam situasi yang paling teruk, mangsa berkemungkinan akan mengalami depresi dan cenderung untuk membunuh diri disebabkan pemikiran negatif serta dipinggirkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mariani berkata, antara kesan lain yang akan dihadapi oleh mangsa adalah seperti hilang kepercayaan terhadap lelaki sekiranya mangsa itu perempuan dan akan berlaku keberangkalian untuk mangsa melakukan perkara sama yang dilakukan oleh ahli keluarga mereka.

"Kebarangkalian untuk mangsa cenderung melakukan perkara yang sama itu ada memandangkan mereka telah melalui trauma yang pada suatu waktu nanti trauma tersebut akan timbul semula dalam situasi yang lebih kurang sama.

"Juga perlakuan diulang terutama mangsa kanak-kanak kerana mereka jadikan ahli keluarga baik ayah mahupun yang lain sebagai role model atau guru mereka dan contoh untuk mereka teladani,” kata beliau.

Mariani

Mengulas lanjut, Mariani berkata, mangsa boleh dibantu dengan diberikan bantuan psikologikal.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan momokan segelintir pihak mengatakan bantuan psikologikal hanya untuk orang kurang siuman, mangsa menjadi takut untuk mendapatkan bantuan.

"Mereka harus segera mendapatkan bantuan psikologi sekiranya menjadi mangsa perbuatan sumbang mahram.

"Mangsa harus berani untuk berjumpa pakar psikatrik atau psikologi mahupun kaunselor berdaftar kerana mereka ini orang yang boleh dipercayai memandangkan mereka tertakluk dalam akta kerahsiaan.

"Malah mangsa juga boleh bertindak melaporkan perkara tersebut kepada polis secepat mungkin agar bukti-bukti tersebut dapat dikumpulkan,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca