SHAH ALAM - Mangsa sumbang mahram berisiko menjadi seorang yang aktif melakukan seks secara bebas kerana tiadanya etika hidup dan menganggap perbuatan itu sebagai normal. Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mangsa sumbang mahram berisiko menjadi seorang yang aktif melakukan seks secara bebas kerana tiadanya etika hidup dan menganggap perbuatan itu sebagai normal.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, ia boleh terjadi kerana mereka yang melalui peristiwa hitam itu menganggap tiada halangan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, akhirnya nanti, golongan itu akan menjadi pelacur kanak-kanak dengan menawarkan khidmat berbayar untuk perbuatan berunsurkan seksual di sekolah.

"Itu perkara yang paling kita takutkan kerana mereka menganggap mereka sudah tiada nilai.

"Apabila mereka dewasa, mereka baru sedar bahawa kelakuan mereka itu salah dan berdosa. Ketika itu, ia akan menjadi sesuatu yang lebih membebankan buat mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Fauziah berkata lagi, kebimbangan itu dizahirkan kerana beliau pernah mengendalikan kes membabitkan dua beradik yang menjadi mangsa nafsu serakah bapa kandung sendiri.

Fauziah

Katanya, kes itu hanya terdedah selepas kanak-kanak tersebut mengaku perlu ‘melayan’ bapanya menyebabkan dia gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan guru.

"Apabila cikgu bertanya, dia jawab begitu kerana bagi dia perbuatan melayan nafsu bapanya itu sebagai normal. Jadi kita kena betulkan balik agar dia berkelakukan normal.

"Ini memberi kesan psikologi kepada mangsa.

"Pada mulanya dia rasa terseksa dan sakit tapi kemudian dia menyerah dan menganggap itu nasibnya,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, mangsa sumbang mahram perlu dibantu menerusi rawatan pemulihan psikologi dalam sesi kaunseling bagi menerangkan mengenai perkara yang betul dan tidak betul.

Kata beliau, sokongan komuniti juga penting khususnya dalam kalangan ahli keluarga mengesan sebarang perubahan tingkah laku kanak-kanak.

"Jika melibatkan bapa kandung, ibu perlu tampil kerana ia melibatkan masa depan kanak-kanak tersebut. Jika kanak-kanak berubah sikap menjadi pendiam juga perlu diperiksa keadaan fizikal si anak.

"Paling penting perlu bersoal jawab secara lisan sehingga mendapat kepercayaan untuk kanak-kanak mendedahkan punca dia berubah sikap,” katanya.

Beliau berkata lagi, sikap penjaga atau ibu bapa yang tidak sanggup menanggung malu menjadi antara faktor menyebabkan ramai ibu takut melaporkan kes sumbang mahram dalam keluarga.

"Norma masyarakat Malaysia selalunya, si ibu akan tutup mulut. Pertama sebab perkara itu stigma yang masyarakat tidak boleh terima.

"Kedua, bapa ialah sumber ekonomi. Jadi ibu takut keluarga akan hilang sumber ekonomi, di samping takut kehilangan kasih sayang suami,” katanya.Fauziah berkata, berikutan itu, ramai ibu yang memilih mengorbankan masa depan anak.

Untuk mengatasi masalah sedemikian, katanya, si ibu perlu melihat kembali peranannya dalam keluarga.

"Perbuatan menutup sumbang mahram itu menyebabkan anak tidak mendapat rawatan.

"Trauma dihadapi anak-anak akibat perbuatan tersebut memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan anak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kandung paling ramai ‘ratah’ anak

Manipulasi suspek terhadap mangsa

Mangsa sumbang mahram perlu segera dibantu

Klik di sini untuk terus membaca