TATKALA negara mengorak langkah perlahan dan perlu untuk melandaikan lengkung gelombang ketiga wabak Covid-19 pada suku pertama tahun 2021 ini, masih terdapat juga pelbagai soalan tentang kesesuaian beberapa langkah yang telah diambil oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai mendukung objektif tersebut.
Salah satu pertikaian paling utama semestinya penangguhan persidangan Parlimen dan fungsi legislatifnya sebagai satu komponen kepada perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021.
Walaupun kuasa pengisytiharan tersebut jelas terletak hak pada Seri Paduka Baginda dan diperuntukkan sewajarnya oleh Perlembagaan Persekutuan, peredaran masa lebih 70 hari (setakat tarikh artikel ini) semenjak darurat bermula membolehkan kita membuat analisis sama ada penangguhan tersebut masih lagi boleh dianggap wajar dan dipertahankan sehingga tamat tempoh darurat pada Ogos 2021.
Sebagai titik permulaan, teks Ordinan Darurat 2021 itu sendiri tidak menghuraikan sebab penangguhan persidangan Parlimen, tetapi tidak juga membuat apa-apa rujukan kepada penggantungan konsep semak dan imbang antara cabang legislatif dan eksekutif, manakala cabang kehakiman masih beroperasi seperti biasa dan tidak terkesan.
Justeru, status Parlimen selaku badan perundangan yang bertujuan membahas dan meluluskan undang-undang negara, memantau pelaksanaan dan keberhasilan dasar serta membangkitkan isu-isu rakyat untuk perhatian pemerintah ini masih diiktiraf, walaupun persidangannya ditangguhkan.
Namun demikian, ketiadaan perbincangan awam mahupun usaha-usaha terbuka untuk mengenalpasti cara untuk membolehkan Parlimen kekal dibuka serta melaksanakan tugasnya adalah agak mengecewakan untuk pelbagai lapisan rakyat. Ia bukanlah satu rahsia bahawa wujudnya teknologi komunikasi dan peralatan pengurusan maya yang meluas serta mampu untuk menjayakan konsep bekerja dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuatkuasakan.
Penggunaan teknologi ini diterima sebagai satu peralihan sementara yang perlu demi memelihara kesinambungan (continuity) dan ketahanan (resilience) institusi, dan bagi sesetengah organisasi, penggunaan teknologi ini juga telah membolehkan produktiviti dikekalkan dalam persekitaran norma baru dan telah berevolusi menjadi pilihan tetap bagi ramai pekerja khususnya dari golongan kolar putih.
Di samping itu, kombinasi fakta dan situasi terkini seperti berikut secara kolektifnya menunjukkan bahawa keputusan untuk meneruskan penangguhan sidang Parlimen ini seolah-olah tidak mencerminkan semua pilihan yang wujud atau situasi mutakhir, apabila mengambil kira:
a. Kadar dan keberkesanan vaksinasi di kalangan anggota Parlimen dan rakyat lain, serta pola jangkitan yang semakin menurun,
b. Langkah-langkah penjarakan dan pengasingan fizikal di dalam kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara,
c. Syarat kemasukan yang ketat bagi kemasukan ke kawasan fizikal Parlimen,
d. Kos saringan Covid-19 yang semakin berkurangan serta ketepatan dan garis masa keputusan ujian yang bertambah baik,
e. Kadar penggunaan sumber kesihatan, terutamanya katil wad jagaan rapi, yang stabil dan terkawal,
f. Pembukaan sektor ekonomi serta sosial yang melibatkan penyertaan ramai tetapi nyata tidak sepenting fungsi Parlimen, seperti sukan secara langsung, perhimpunan agung parti politik dan majlis perkahwinan, yang telah dibuat secara selamat dengan kepatuhan SOP yang tinggi,
g. Kewujudan perisian komunikasi video bagi pelbagai jenis peranti mudah alih yang boleh melibatkan bilangan peserta yang ramai dalam persekitaran yang selamat (secure) – yang juga digunapakai pada skala besar semasa negara menjadi tuan rumah Persidangan APEC 2020,
h. Pengalaman peralihan tatacara prosiding rasmi ke mod maya atau secara hibrid fizikal-maya di badan-badan legislatif lain di seluruh dunia, termasuk negara seperti United Kingdom, Kanada, Australia, Brazil, Singapura dan New Zealand,
i. Pengalaman peralihan tatacara rasmi ke mod maya atau secara hibrid fizikal-maya di peringkat badan kehakiman tempatan, di mana penggunaan aplikasi video bagi menggantikan pendengaran kes secara fizikal telah dibuat seawal bulan Mei 2020 manakala sistem pengurusan dokumentasi secara maya pula telah diperluaskan penggunaannya; dan
j. Penjelasan oleh pihak Istana Negara bahawa persidangan Parlimen boleh diteruskan semula atas budi bicara Perdana Menteri.
Walaupun pengisytiharan darurat diakui dapat menyelesaikan satu permasalahan spesifik, iaitu mengelak pengisian kekosongan kerusi Parlimen atau sesebuah Dewan Undangan Negeri sedia ada melalui pilihanraya kecil, serta menunda pembubaran Dewan Undangan Negeri yang tamat tempoh sebelum keadaan kesihatan mengizinkan, adalah amat sukar untuk mengaitkan penangguhan sidang Parlimen dengan mencapai objektif tersebut kerana ia telah pun dibuat di peringkat tempatan (di Batu Sapi, Bugaya dan Gerik) pada tahun 2020 tanpa menjejaskan perjalanan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri yang terbabit.
Justeru, satu perbincangan di peringkat nasional perlu diadakan dan dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan bagi mengelak peranan Parlimen itu diserap secara pukal oleh sebuah teknokrasi yang autokratik, walaupun dengan niat dan tujuan yang baik.
Keabsahan keputusan serta perbelanjaan kerajaan dalam menangani pandemik ini seharusnya kekal ditentukan oleh Parlimen selaku badan perundangan di dalam konsep pengasingan kuasa (separation of powers), dan boleh mengelak situasi seperti kecelaruan dalam penetapan kesalahan yang boleh di kompaun di bawah peraturan-peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Pengalaman spesifik sesetengah negara seperti Brazil boleh dijadikan sebagai contoh, di mana bukan sahaja teknologi sidang video digunakan untuk melangsungkan mesyuarat ‘Chamber of Deputies’ negara tersebut, tetapi aplikasi mudah alih dengan pengesahan pelbagai faktor (multi-factor authentication) juga telah dibangunkan untuk tujuan pekeliling dokumen seperti rang undang-undang serta pengundian di dalam Dewan. Ini diikuti juga dengan lintas langsung persidangan tersebut di laman web parlimen Brazil bagi meningkatkan keterbukaan dan ketelusan prosiding tersebut.
Status Brazil sebagai negara dengan nisbah kematian kepada jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia tetap tidak menghalang mereka untuk kekal berpegang kepada tatacara dan tradisi demokrasi, dengan bantuan teknologi dan rekabentuk proses yang bersesuaian. Tinjauan ke laman web Kesatuan Parlimen Antarabangsa juga menunjukkan bahawa kebanyakan badan perundangan dunia masih lagi bersidang dalam pelbagai cara walaupun tertakluk kepada pelbagai pertimbangan tempatan. Namun apa yang boleh dilihat ialah perbezaan pendekatan yang ketara dengan majoriti negara demokrasi yang tidak membelakangkan badan perundangan di dalam perjuangan melawan pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia adalah berhak untuk dimaklumkan tentang sebab penangguhan sidang Parlimen yang berterusan walaupun situasi di penghujung bulan Mac ini sangat berbeza dengan bulan Januari dari segi kesediaan Parlimen untuk menyambung tugasnya, dan kerajaan perlu memperincikan sebab-sebab yang munasabah serta kukuh bagi meneruskan penangguhan tersebut.
* Ahmad Arif Astaman Felo Penyelidik, Social & Economic Research Initiative (SERI)
Klik di sini untuk terus membaca