MERAK Jalanan kadangkala kasihan dengan Chef Wan. Pada usia 63 tahun, dia sepatutnya sudah bersenang-lenang hasil kerja kerasnya sebagai chef terkenal. Namun, masih ada perkara yang mengganggu fikirannya terutama membabitkan perkahwinan... Klik di sini untuk terus membaca

MERAK Jalanan kadangkala kasihan dengan Chef Wan. Pada usia 63 tahun, dia sepatutnya sudah bersenang-lenang hasil kerja kerasnya sebagai chef terkenal. Namun, masih ada perkara yang mengganggu fikirannya terutama membabitkan perkahwinan anak perempuannya, Serina.

Pelakon dan pengacara itu didakwa bernikah tanpa pengetahuan Chef Wan.

Menurut Chef Wan, dia tidak terkejut diketepikan sebegitu oleh Serina. Bagaimanapun sebagai bapa, dia semestinya sangat terkilan dengan tindakan anaknya itu. Kisah dua beranak ini hangat diperkatakan netizen dalam beberapa hari ini. Cuma Merak Jalanan tengok tiada siapa yang untung bila masalah keluarga dicanang di media sosial.

Dalam kes ini, media sosial hanya menjadi tempat untuk netizen menambah dosa, mengumpat, fitnah dan memaki hamun orang lain.

Serina sendiri dituduh berkahwin di sempadan Thailand, membelakangkan bapa, hidup bermadu dan pelbagai lagi tohmahan sebaik bergelar isteri kepada seorang inspektor polis.

Merak Jalanan faham perasaan Chef Wan. Mana-mana ibu bapa pun akan berkongsi perasaan sama jika melalui apa yang dialami Chef Wan sekarang.

Tetapi bak kata Chef Wan: "Kita doakan terbaik untuk pernikahan mereka ini, sudahlah.”

Kepada anak-anak di luar sana, beginilah sebenarnya ibu ayah kita. Walaupun terluka dan mereka cakap kita macam-macam, jauh di sudut hati mereka tetap mendoakan kebahagiaan anak-anak.

Merak Jalanan percaya konflik keluarga berlaku di mana-mana. Yelah, bumi manalah yang tidak ditimpa hujan.

Begitupun, air dicincang takkan putus, itulah ibarat hubungan kekeluargaan lebih-lebih lagi antara ibu bapa dan anak. Bulan Ramadan ini seharusnya menjadi bulan untuk kasih sayang yang renggang kembali bertaut.

Merak Jalanan yakin Serina akan pulang jua ke pangkuan keluarga.

Klik di sini untuk terus membaca