SHAH ALAM - Harga motosikal yang merupakan pengangkutan utama golongan berpendapatan rendah kini semakin mahal gara-gara tindakan pengedar menaikkan harga jualan sesuka hati untuk mengaut lebih keuntungan.
Sebagai contoh, harga belian tunai sebuah motosikal berkapasiti enjin 150cc ke bawah adalah RM1,000 hingga RM3,000 lebih tinggi berbanding harga asal yang ditetapkan oleh pengeluar.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, harga motosikal tersebut akan meningkat lebih tinggi lagi jika dibeli secara ansuran atau hutang.
Malah, baru-baru ini tular satu aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mendakwa harga model baharu motosikal 155cc dijual terlalu mahal.Menurut portal berita, berdasarkan aduan tersebut, harga pelancaran motosikal model baharu itu cuma RM10,888, tetapi motosikal tersebut didakwa dijual di kedai pada harga melebihi RM13,000.
"Alasan (penjual) stok motosikal itu susah didapati. Kedai juga mengenakan syarat menunggu lebih lama jika ingin membeli secara tunai dan mengutamakan pembelian secara hutang.
"Kegiatan itu mula terjadi ketika model sebelumnya. Rata-rata harga jualan lebih RM9,500 sedangkan ‘harga body’ sekitar RM8,000.
"Tidak mungkin (kos) insurans, cukai jalan dan proses pendaftaran sehingga lebih RM1,500,” menurut e-emel tersebut.Bukan kesalahan
Penganalisis pemotoran, Hezeri Samsuri, bagaimanapun berkata, perkara itu bukanlah satu kesalahan kerana kerajaan membenarkan pasaran terbuka di mana harga jualan produk akan ditentukan oleh para pengedar, bergantung kepada keadaan pasaran semasa.
Malangnya, kata beliau, situasi itu memberi kesan besar kepada golongan pembeli berpendapatan kecil untuk memiliki motosikal pada harga mampu milik.
"Mereka (pengedar) juga boleh menaikkan harga motosikal jika permintaan meningkat. Tiada had harga maksimum ditetapkan pengilang ataupun kerajaan.
"Ini bukan manipulasi harga atau kartel kerana kartel hanya berlaku jika sekumpulan peniaga menetapkan harga yang sama. Dalam kes ini, kenaikan harga adalah berbeza-beza mengikut lokasi,” katanya pada Sinar Harian.
Tegasnya, pasaran terbuka ialah sistem perniagaan terbaik kerana pengedar berpeluang bersaing sesama sendiri, namun ia juga mempunyai kelemahan.
Tambahnya, peniaga boleh menaik dan menurunkan harga tanpa perlu meminta kebenaran daripada mana-mana pihak.
Klik di sini untuk terus membaca