MERAK JALANAN dengar cerita bazar Ramadan kembali meriah tahun ini. Khabarnya rata-rata bazar Ramadan dipenuhi pengunjung. Seawal jam 4 petang, sudah ada mengorak langkah ke bazar Ramadan.
Syukur alhamdulillah, peniaga-peniaga sudah boleh berniaga. Ini masanya mereka menambah sumber pendapatan. Ini juga masanya mereka ‘ganti apa yang patut’ selepas tak dapat berniaga pada Ramadan tahun lalu.
Tetapi ada juga cerita yang tak sedap didengar. Dengar cerita ramai juga pengunjung yang langgar prosedur operasi standard (SOP). Bab pakai pelitup muka dah betul, periksa suhu badan dah betul dan daftar masuk aplikasi MySejahtera pun dah betul.
Tetapi satu benda saja yang tak betul – tak jaga penjarakan fizikal. Memang betul ada yang cakap, susah nak jaga penjarakan fizikal dalam ‘lokasi padat’ seperti bazar Ramadan.
Dalam hal ini, nak salahkan siapa? Pengunjung, peniaga atau penganjur bazar Ramadan itu sendiri. Jika situasi ini berlarutan, usah terkejut pula jika kes Covid-19 naik mencanak.
Jangan bila dah terjah bazar Ramdan, ada yang lupa segala bagai SOP ditetapkan. Dek terlalu ghairah melihat juadah depan mata, dah tak peduli kiri kanan - langgar apa saja termasuk SOP.
Sebelum ini kita sering diingatkan dengan frasa ‘kita jaga kita’. Tetapi bila dah sampai bazar Ramadan, terus tukar frasa ‘semua bangkit selera’. Maklumlah, tahun lepas tak boleh belanja sakan di bazar Ramadan, jadi ini masa terbaik nak balas dendam.
Tak salah pun nak singgah bazar Ramadan, belilah apa saja juadah yang diinginkan. Tetapi beringat-ingatlah, jangan langgar SOP sehingga akhirnya mendatangkan kemudaratan.
Ingat pesan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah: ‘Kita belum menang’. Jangan sampai kita terpaksa pula berdepan gelombang keempat Covid-19 sebelum Aidilfitri nanti.
Klik di sini untuk terus membaca