SEBUAH portal automotif terkemuka, Careta melaporkan program i-Sinar yang diperkenalkan oleh kerajaan telah menyebabkan penjualan motosikal meningkat paling tinggi dalam sejarah negara.
Portal itu mendedahkan sebanyak 85,466 unit motosikal baharu telah didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi bulan Mac 2021. Difahamkan, jualan pada bulan sebelumnya mencecah 55,000 unit. Nampaknya, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia melaram dengan motosikal baharu pada tahun ini.
Menurut laporan MotorCycle Data (McD), industri motosikal di Malaysia pada tahun 2020 dilaporkan mencatatkan jualan sebanyak 499,000 buah dan meletakkan pasaran motosikal di negara ini berada pada kedudukan ke-13 di seluruh dunia dan tempat kelima di rantau ASEAN.
Pada tahun 2020, jualan motosikal memberangsangkan pada bulan Januari dan Februari dengan peningkatan sebanyak 22 peratus.
Bagaimanapun, kemunculan pandemik Covid-19 telah mengakibatkan jualan motosikal jatuh selama beberapa bulan sebelum pulih semula.
Syarikat penganalisis data pasaran motosikal itu melaporkan pasaran kenderaan itu sebelum ini mencatatkan kedudukan paling buruk antara tahun 2013 hingga 2016 dengan jualan sebanyak 170,000 unit.Bagaimanapun, Persatuan Pengeluar Motosikal Malaysia melaporkan jualan bagi tahun 2019 kembali positif dengan jualan 546,813 unit, meningkat sebanyak 15.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Terkini, jualan motosikal diramalkan meningkat bagi tahun ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan motosikal pemasangan tempatan (CKD) dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.
Peluang terbaik
Sudah pasti ramai yang bercita-cita untuk memiliki motosikal baharu, tidak akan melepaskan peluang terbaik. Apatah lagi dengan duit i-Sinar dan pengecualian cukai ini menyebabkan hasrat tersebut dapat ditunaikan.
Tetapi dalam masa yang sama muncul cerita-cerita yang tidak enak. Bakal pembeli motosikal mendakwa, ada peniaga sengaja mengambil kesempatan dengan menjual motosikal secara ansuran dan enggan menerima secara tunai.
Mereka berbuat demikian kerana ia lebih menguntungkan penjual. Taktik sedemikian tidak seharusnya berlaku, tetapi apakan daya, pengguna hanyalah ibarat mentimun dan penjual pula buah durian. Mereka lebih berkuasa untuk menentukan pasaran.
Dengar cerita, syarikat pengeluar pun pening kepala dengan perangai penjual-penjual motosikal ini. Mereka menjual pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga yang dicadangkan pengeluar.
Sementara itu, ada pembeli yang khabarnya sudah membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) namun aduan dipandang sepi.
Masalah penjual motosikal ini bukan perkara baharu dan sudah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya kerana kerajaan membenarkan perkara itu berlaku. Inilah dikatakan sebagai pasaran terbuka dan tiada kawalan.
Lebih mengejutkan, ada sumber mengatakan bahawa industri motosikal di Malaysia sebenarnya dikuasai oleh ah long. Sebab itu, ramai dalam kalangan penjual ini tidak bimbang dengan perniagaan mereka dan berani membuli pembeli.
Untuk rekod, di Malaysia ada kira-kira tujuh juta isi rumah dan 5.8 juta isi rumah memiliki motosikal. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 13 juta motosikal di negara ini dan jumlah tersebut hampir sama dengan jumlah kereta. Ini menunjukkan bahawa industri motosikal memang sangat lumayan.
Bagi pembeli yang memiliki poket ‘tebal᾿ mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk memiliki apa sahaja motosikal yang mereka idamkan namun berbeza dengan pembeli golongan B40. Mereka memerlukan motosikal untuk kegunaan seharian termasuk mencari rezeki.
Tetapi malangnya, mereka terpaksa membayar pada harga yang mahal untuk membayar ansuran motosikal setiap bulan.
Klik di sini untuk terus membaca