PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap aksi pemanas badan berdepan Bahrain dan Kuwait dapat membantu persiapan skuad kendaliannya bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.
"Kami pilih Bahrain kerana gaya serta corak permainan mereka sama dengan UAE termasuk dari segi saiz pemain. Malah, satu lagi pasukan yang akan menguji pasukan kita juga dari Asia Barat.
"Kami bukan tidak mahu aksi persahabatan dengan pasukan dari negara ASEAN tetapi corak permainan mereka termasuk saiz pemain hampir sama dengan pemain-pemain negara.
"Jadi sebaiknya kami menentang pasukan dari Asia Barat kerana ia akan menguji kekuatan pasukan negara. Lagipun kami perlu juga menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan berlepas ke Bahrain pada 19 Mei sebelum menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kuwait (23 Mei) dan Bahrain (28 Mei).
Selepas mengharungi lima perlawanan, Malaysia kini berada di tangga kedua Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata - dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.
Dalam baki tiga perlawanan di UAE nanti, Malaysia dijadualkan menentang UAE pada 3 Jun diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).
Dalam pada itu, Cheng Hoe menarik nafas lega apabila skuad Harimau Malaya bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum mereka berlepas ke UAE bermula 19 April ini.
"Ini satu berita baik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican (Naina Merican) atas inisiatifnya bagi memastikan skuad Harimau Malaya menerima suntikan vaksin Covid-19,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca