PADA Rabu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay telah mendedahkan statistik anggota Polis Johor yang dikenakan tindakan tatatertib bagi tahun 2020 dan 2021.
Tindakan merangkumi tahan kerja, gantung kerja dan buang itu melibatkan jumlah keseluruhan seramai 91 anggota dan seorang pegawai awam pada tahun lalu.
Sementara pada tahun ini pula jumlah bagi ketiga-tiga tindakan tatatertib itu melibatkan seramai 74 anggota dan empat pegawai kanan.
Menurut Ayob Khan, lebih ramai anggota polis Johor dijangka akan dibuang kerja pada tahun ini berbanding jumlah dicatatkan pada tahun lalu.
Tahun lalu, Ayob Khan memberitahu, pihaknya telah mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan pegawai dan anggota polis Johor termasuk membabitkan penyalahgunaan dadah.
"Tindakan buang kerja dijangka bertambah memandangkan masih terdapat kes tatatertib dalam siasatan dan juga dalam perbicaraan mahkamah.
"Kalau positif dadah, memang tindakan pembuangan kerja akan dilakukan,” katanya.
Difahamkan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah membuka 230 kertas siasatan tatatertib yang membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dan dua pegawai awam dengan kes salah laku merupakan yang paling tinggi iaitu 154 kes dan diikuti 45 kes dadah.
Mengikut laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Kontijen Johor memiliki Ibu Pejabat Polis Daerah sebanyak 13 buah, balai polis (104) dan pondok polis (93).
Difahamkan, kontinjen berkenaan mempunyai anggota dan pegawai melebihi 10,000 orang setakat ini.
Bagaimanapun, Kontinjen Polis Johor mencatat kes tatatertib tertinggi di antara negeri negeri lain di Malaysia, kata Ayob Khan.
Tahun ini, seramai 59 anggota polis ditahan kerja, 11 orang digantung kerja dan lapan orang dibuang kerja.
Sementara itu, seramai 12 lagi anggota polis kontinjen berkenaan akan dibuang kerja atas pelbagai kesalahan.
Klik di sini untuk terus membaca