SHAH ALAM - Segelintir penjual dan pengedar motosikal didapati lebih gemar menjual kenderaan tersebut secara ansuran berbanding pembelian tunai.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai menjual motosikal sekitar Lembah Klang, motosikal yang dibeli secara ansuran mudah diperoleh berbanding pembelian secara tunai.
Salah seorang penjual motosikal yang enggan dikenali mendedahkan, pembelian secara ansuran lebih menguntungkan berbanding tunai.
"Bayaran secara ansuran dan pinjaman akan beri banyak untung kepada peniaga.
"Bayangkan kalau harga biasa kedai sudah untung banyak, cuba kalau kedai paksa buat pembayaran secara ansuran, lagilah untung,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Khamis, akhbar ini melaporkan harga motosikal dengan kapasiti enjin 150cc ke bawah dijual pada harga yang tinggi iaitu di antara RM1,000 hingga RM3,000.
Ia berpunca daripada sistem pasaran terbuka oleh kerajaan bagi membolehkan harga kenderaan itu lebih kompetitif, namun dasar tersebut menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa membeli pada harga mahal.
Ketika ditanya mengenai kenaikan harga sesetengah model motor, penjual berkenaan berkata, situasi itu terjadi kerana kekurangan stok dibawa masuk ke Malaysia memandangkan setengah model motosikal dibuat di luar negara. "Penularan pandemik Covid-19 menyebabkan kilang tidak boleh mengeluarkan stok banyak, ditambah dengan kelewatan penghantaran yang menyebabkan model tersebut lambat sampai,” katanya.
Seorang penjual yang hanya dikenali sebagai Hakim berkata, trend itu sama di semua kedai jualan motosikal.
"Ia memang sudah lama berlaku dan tiada masalah kerana pembeli sanggup bayar walaupun tahu ansuran lebih mahal,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca