SEHINGGA saat ini, belum ada kepastian bilakah penantian barisan pemain Perak FC menerima gaji mereka yang masih tertunggak bagi bulan Mac 2021 akan berakhir.
Situasi itu nyata meresahkan pemain mahupun pegawai terlibat biarpun pengurusan Perak FC dikatakan sudah mempunyai strategi tersendiri dalam menyelesaikan masalah kewangan kelab itu.
Bagi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, beliau secara peribadi berpendapat, sudah tiba masanya pihak pengurusan Perak FC bergerak lebih proaktif dalam mencari pelabur dan penaja.
Zainol Fadzi berkata, kepimpinan Perak FC yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Ali Naizali harus segera menangani permasalahan yang timbul bagi meyakinkan pihak pelabur mahupun penaja.
"Pertama sekali, Perak FC harus bersih daripada masalah-masalah yang mampu memberi tanggapan negatif daripada pihak luar. Macam mana nak tarik pelabur jika masalah seperti gaji tidak diselesaikan.
"Saya percaya pelabur atau mana-mana penaja akan teragak-agak untuk menyalurkan tajaan atau membeli saham kelab jika masalah itu berlarutan. Jadi imej Perak FC itu penting di mata pihak luar.
"Apa yang saya lihat, sekarang pun sudah ada kelab yang dimiliki sepenuhnya ahli perniagaan. Ada juga sebahagian saham kelab dijual kepada orang luar untuk menjadikannya lebih independent.
"Maka sebaik-baiknya Perak FC menjadikan beberapa kelab itu sebagai contoh. Mungkin agak terlewat kerana Liga Malaysia (Liga-M) sudah bermula tetapi pengurusan Perak FC kenalah pantas bertindak,” katanya kepada Sukan Harian baru-baru ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan, kegagalan Perak FC membayar gaji barisan pemainnya selama dua bulan tidak wajar diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.
Malah, beliau memberitahu, secara keseluruhan kerajaan negeri telah memberikan RM4 juta iaitu RM2.5 juta untuk tunggakan gaji selama dua bulan selain bantuan sebanyak RM1.5 juta baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata, pihak pengurusan perlu sentiasa mendekati dan berkomunikasi dengan pemain serta pegawai apabila berlaku masalah terutamanya melibatkan tunggakan gaji.
"Berdasarkan pengalaman saya, perbincangan itu penting. Setiap pemain itu akan faham jika mereka diberikan penerangan yang jelas. Cuma pengurusan Perak FC harus bersikap jujur dalam menangani masalah ini.
"Memang saya akui kos bagi menanggung perbelanjaan sesebuah pasukan bola sepak itu cukup tinggi. Tetapi kita kenalah beringat 'ukur baju di badan sendiri', berbelanjalah ikut kemampuan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca