SHAH ALAM - "Banyak orang gila judi. Banyak orang gila judi. Hai judi merosak diri, merosak diri. Banyak yang setengah mati, akibat judi”.
Demikianlah lirik lagu Gila Judi nyanyian Datuk M Daud Kilau, yang turut memberi gambaran mengenai sikap manusia kaki judi yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan keinginannya dipenuhi termasuk pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Terbaharu, tular klip video lagu raya berdurasi 2 minit dan 1 saat yang menggalakkan orang ramai berjudi untuk mendapatkan duit raya.
Video itu memaparkan aksi lakonan dan nyanyian lima lelaki dan perempuan lengkap memakai baju Melayu dan baju kurung sambil menyanyikan lagu raya seakan-akan mengikut melodi Warna-Warni Aidilfitri tetapi liriknya diubah.Video tersebut mempromosikan sebuah laman judi dalam talian menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan tidak menolak ada kaki judi yang terpengaruh dengan iklan seperti itu dan menggunakan wang dimenangi bagi membuat persiapan Aidilfitri untuk diri sendiri dan keluarga.
Menurut beliau, judi online kini mudah diakses oleh sesiapa sahaja menerusi telefon pintar.
"Judi online kini sangat serius kerana individu yang terlibat boleh menggunakan aplikasi perjudian secara online tanpa perlu pergi ke pusat judi.
"Kadang-kadang semasa makan pun mereka berjudi secara online,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Malah dek kerana terlalu mudah mencapai akses untuk berjudi katanya, PPIM pernah mendapat pelbagai aduan daripada keluarga mangsa menanggung hutang ratusan ribu ringgit apabila ahli keluarga terlibat dalam judi online."(Judi online) paling mudah diakses, kita juga pernah mendapat aduan daripada keluarga tentera.
"Ada yang ibu bapanya datang mengadu kerana terpaksa menjual rumah bernilai RM200,000 kerana ada anak dia askar yang sangkut dengan judi online.
"Sebagai orang Islam, kalau hendak ubah nasib perlu ikut cara Islam. Kalau tidak kita akan hanyut. Kepada pihak berkuasa, mereka perlu mengambil serius perkembangan judi ini,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: PDRM siasat penerbit, pelakon iklan raya promosi judi online
Beliau bagaimanapun tidak menafikan sindiket perjudian online amat licik, namun pihak berkuasa perlu lebih agresif memastikan aktiviti itu dapat dibanteras.
"Kita tahu sindiket perjudian ini licik. Pihak berkuasa perlu ambil serius. Kita tahu mereka boleh buat semula aplikasi tersebut walaupun telah dipadam oleh pihak berkuasa."Tapi itulah kerja kita. Sama seperti sampah di Sungai Klang, kita kena cuci hari-hari disebabkan ada orang buang sampah setiap hari,” katanya.